ZAINAL Abidin melihat tanaman pokok herba dan sayur-sayuran.
ZAINAL Abidin melihat tanaman pokok herba dan sayur-sayuran.
ANTARA tanaman di lot kedainya.
ANTARA tanaman di lot kedainya.
Hayati Ibrahim

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itu perumpamaan yang boleh diberikan kepada seorang pemandu lori yang menjadikan bahagian depan dan belakang lot kedai sewanya sebagai kebun mini untuk memenuhi hobi pada masa lapang.

Zainal Abidin Mohd Zain, 44, yang berasal dari Kelantan berkata, dia bekerja sebagai pemandu lori sepenuh masa, tetapi meminati bidang pertanian berikutan latar belakang keluarganya berasal dari petani.

Pada masa sama, dia dan isteri, Hasnah Mohamed, 43, turut mengusahakan kedai menjual tanah, biji benih, baja dan pokok herba secara kecil-kecilan di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

“Sejak kecil saya suka bercucuk tanam. Apabila tinggal di kawasan perumahan memang agak terbatas untuk berbuat demikian, jadi kita kena kreatif bagi memastikan hobi itu dapat dilaksanakan.

“Kebetulan lot kedai yang saya sewa ada kawasan agak luas di bahagian depan dan tepi bangunan. Saya menggunakan ruangan itu untuk menanam pelbagai jenis pokok herba dan sayur-sayuran.

“Saya menggunakan kaedah tanaman dalam pasu dan beg semaian kerana dapat menjimatkan ruang,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Zainal Abidin berkata, dia juga membina para di tepi lot kedainya untuk menempatkan pasu sayur-sayuran, selain menggunakan bahan kitar semula untuk dijadikan bekas tanaman.

Katanya, antara sayur-sayuran yang ditanam ialah kailan, kobis, bayam hijau, bayam merah, limau purut, labu, buah tin, kangkung, tomato dan salad.

Menurutnya, jika seseorang itu minat bercucuk tanam, mereka akan mencari alternatif untuk berbuat demikian walaupun hanya tinggal di pangsapuri atau flat.

“Bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan, kita juga dapat memastikan sayuran dimakan terjamin selamat dan bebas

bahan kimia berbahaya serta racun kerana kita boleh menggunakan baja organik.

“Bagi saya secara peribadi, bercucuk tanam mampu memberikan ketenangan dan keseronokan yang tidak ada tolok bandingnya.

“Badan kita tidak penat walaupun bekerja seharian selepas melihat tumbuh-tumbuhan hijau di depan mata apatah lagi yang kita tanam sendiri,” katanya.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, dia mula mula bercucuk tanam di sekitar kedai itu sejak setahun lalu dan kini ia menjadi tumpuan pelanggan untuk mendapatkan sayuran segar pada harga berpatutan.

Katanya, selain belajar daripada ibu bapa, dia turut ke Thailand untuk mempelajari ilmu pertanian bagi menambah pengetahuan terutama teknik tut tanaman, semaian dan penjagaan pokok untuk mendapatkan hasil lumayan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 11:18 AM