ZAINAL Abidin melihat tanaman pokok herba dan sayur-sayuran di tepi lot kedai di Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi.
ZAINAL Abidin melihat tanaman pokok herba dan sayur-sayuran di tepi lot kedai di Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi.

Sepang: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itulah perumpamaan yang boleh diberikan kepada seorang pemandu lori yang menjadikan bahagian depan dan belakang lot kedai yang disewanya sebagai kebun mini untuk memenuhi hobi pada masa lapang.

Zainal Abidin Mohd Zain, 44, dari Kelantan berkata, dia bekerja sebagai pemandu lori sepenuh masa, tetapi amat mencintai bidang pertanian memandangkan latar belakang keluarganya yang berasal daripada petani.

Pada masa sama, dia dan isteri, Hasnah Mohamed turut mengusahakan kedai menjual tanah, biji benih, baja dan pokok herba secara kecil-kecilan di Bandar Baru Salak Tinggi, dekat sini.

“Dari kecil lagi saya memang suka bercucuk tanam, apabila tinggal di kawasan perumahan memang agak terbatas untuk berbuat demikian, jadi kita kena kreatif bagi memastikan hobi dapat dilaksanakan

“Kebetulan lot kedai yang saya sewa memang mempunyai kawasan agak luas di bahagian depan dan tepi bangunan, jadi saya menggunakan ruangan itu untuk menanam pelbagai jenis pokok herba dan sayur-sayuran dengan menggunakan kaedah di dalam pasu dan polibeg yang ternyata dapat menjimatkan ruang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Zainal Abidin berkata, dia juga membina para di bahagian tepi lot kedai untuk menempatkan pasu sayur-sayuran yang ditanam, selain menggunakan bahan kitar semula untuk dijadikan bekas tanaman.

Katanya, antara pokok dan sayur-sayuran yang ditanam termasuk kailan, kobis, bayam hijau, bayam merah, limau purut, labu, buah tin, kangkung, tomato dan salad.

Menurutnya, jika seseorang itu minat bercucuk tanam, mereka akan mencari alternatif untuk berbuat demikian walaupun hanya tinggal di pangsapuri atau flat.

“Bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan, kita juga dapat memastikan sayuran yang dimakan untuk keluarga terjamin selamat dan bebas daripada bahan kimia serta racun kerana kita boleh menggunakan baja organik.

“Selain itu, bagi saya secara peribadi bercucuk tanam mampu memberikan ketenangan dan keseronokan yang tidak ada tolok bandingnya, badan tidak akan penat walaupun penat bekerja seharian selepas melihat tumbuh-tumbuhan hijau di depan mata,”katanya.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, dia mula bercucuk tanam di sekitar kedai sejak setahun lalu dan kini ia menjadi tumpuan pelanggan untuk mendapatkan sayuran segar.

Katanya, selain belajar daripada kedua-dua ibu bapa, dia juga turut ke Thailand untuk menuntut ilmu pertanian bagi menambah pengetahuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 11:38 AM