GAMBAR fail. FOTO Bernama
GAMBAR fail. FOTO Bernama
BERNAMA

Kota Kinabalu: Orang ramai terutama di pantai timur dan utara Sabah dinasihatkan supaya menangguhkan aktiviti riadah luar seperti berkelah, berkhemah di kawasan pinggiran sungai atau aktiviti pendakian, berikutan luruan monsun diramal berlaku bermula esok.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Sabah Md Ali Ismail berkata, ini kerana luruan monsun yang membawa angin sejuk dari Siberia, dijangkakan mengakibatkan hujan berterusan terutama di kawasan pantai timur dan utara Sabah.

Beliau berkata, keadaan ini berpotensi mengakibatkan berlakunya banjir, tanah runtuh dan lain-lain kejadian yang tidak diingini.

"Orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dinasihatkan untuk lebih peka dan sentiasa berwaspada.

"JBPM Sabah sudah diletakkan dalam keadaan lebih bersiap siaga, dengan meletakkan aset-aset berkaitan di lokasi strategik dengan lebih awal," katanya menerusi kenyataannya, hari ini.

Md Ali berkata, JBPM Sabah juga membuat pemantauan dari semasa ke semasa, selain berkoordinasi dengan agensi lain di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri, untuk bertindak balas sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

Khamis lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan luruan monsun pada 27 hingga 30 Disember, antara lain menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.

Menurut MetMalaysia keadaan itu juga boleh menyebabkan hujan berterusan di Johor, Sabah dan Sarawak dalam tempoh 28 hingga 30 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 6:33 PM