Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Cabaran istiqamah menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut menarik minat 18 kanak-kanak dan remaja di Kampung Patek, Kadok di sini.

Sebagai imbuhan, kesemua 18 kanak-kanak dan remaja yang berusia sembilan hingga 18 tahun itu menerima basikal baharu dan duit raya serta sijil daripada pengurusan Masjid Ar-Rasyidin Mukim Kerak-Patek.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadok Datuk Azami Mohd Noor berkata, program julung kali dianjurkan oleh pihak masjid berkenaan dimulakan sejak 20 Mac lalu dan berakhir semalam.

"Selama 40 hari kanak-kanak dan remaja yang menyertai cabaran itu akan dicatat nama mereka oleh siak masjid bagi menandakan kehadiran mereka secara berterusan.

"Program ini dianjurkan bagi mengimarahkan masjid selain mengekalkan solat lima waktu dalam kalangan anak muda yang dilihat semakin ramai yang lalai dengan aktiviti sosial lain.

"Insya-Allah selepas ini kami akan teruskan dengan galakan solat Subuh berjemaah ini dan sebagai ganjaran, kanak-kanak serta remaja yang singgah ke masjid untuk berjemaah sebelum ke sekolah akan diberikan wang saku serta bekal sarapan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Azami berkata, semua 18 basikal dengan keseluruhan kos RM2,400 menggunakan peruntukan tabung kemakmuran masjid terbabit dan akan meneruskan program yang sama di masa akan datang.

Bagi pasangan kembar, Muhammad Arfan Arif Azri dan Muhammad Irfan Amir, 12, cabaran itu disahut tanpa rasa beban kerana boleh dikatakan setiap hari pergi ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah.

Menurutnya, dia bersama kembarnya serta seorang lagi rakan akan berjalan kaki setiap lima kali sehari sebaik masuknya waktu solat.

"Memang sudah biasa datang berjemaah di masjid dan untuk solat Subuh pula, selepas bersahur kami segera bersiap-siap malah tidak pernah rasa mengantuk dan malas," kata murid Sekolah Kebangsaan Kedai Piah itu.

Jemaah paling muda, Syah Akil Daniel Sharizal, 9, pula sangat teruja menerima hadiah basikal baharu yang sudah lama diidamnya menyebabkan kanak-kanak itu sanggup menahan mengantuk demi menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid.

Dia berkata, sebaik mengetahui ada cabaran yang menawarkan hadiah basikal, dia bersama abangnya, Syah Akid Daniel, 12, berasa teruja dan cuba tidak ponteng solat Subuh berjemaah di masjid.

"Walaupun berasa agak mengantuk semasa bangun bersahur, kami gagahkan diri bersama ayah datang ke masjid dan hari ini kami berdua dapat hadiah basikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 5:06 PM
SERAMAI 18 kanak-kanak dan remaja yang berusia sembilan hingga 18 tahun bersama  basikal baharu dan duit raya beserta sijil selepas menerima cabaran istiqamah menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut daripada pengurusan Masjid Ar-Rasyidin Mukim Kerak-Patek. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SERAMAI 18 kanak-kanak dan remaja yang berusia sembilan hingga 18 tahun bersama basikal baharu dan duit raya beserta sijil selepas menerima cabaran istiqamah menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut daripada pengurusan Masjid Ar-Rasyidin Mukim Kerak-Patek. FOTO Nik Abdullah Nik Omar