AHLI jawatan kuasa Masjid Hadhari mengagihkan wang insentif buat kanak-kanak yang hadir untuk solat jemaah. FOTO Nurul Fatihah Sulaini.
AHLI jawatan kuasa Masjid Hadhari mengagihkan wang insentif buat kanak-kanak yang hadir untuk solat jemaah. FOTO Nurul Fatihah Sulaini.
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Pemberian insentif RM7 berjaya menarik minat remaja dan kanak-kanak untuk menunaikan solat Subuh dan Isyak berjemaah di Masjid Hadhari, di sini.

Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Hadhari Jertih, Baharudin Ibrahim berkata, inisiatif itu adalah salah satu daripada program anak muda mengimarahkan masjid yang dilaksana melalui rakan muda masjid.

Katanya, ia bagi memupuk dan menggalakkan golongan muda solat berjemaah di masjid sejak usia kecil.

"Sumbangan saguhati berbentuk wang tunai RM5 bagi solat Subuh dan RM2 bagi Isyak itu dapat dimanfaatkan sebagai wang saku persekolahan anak-anak.

"Pendekatan ini merupakan satu usaha bagi menghidupkan suasana solat berjemaah khususnya dalam kalangan mereka berusia 15 tahun ke bawah.

"Program ini baru sahaja dilaksana minggu lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat," katanya di sini, hari ini.

Baharudin berkata, pada awalnya, hanya beberapa orang kanak-kanak sahaja yang hadir solat berjemaah, namun jumlah itu bertambah hingga tiga kali ganda apabila memasuki minggu kedua.

"Program ini akan menjadi rutin dan kami turut menggalakkan masjid lain melaksana pelbagai program yang dapat menarik lebih ramai golongan muda mendekati masjid," katanya.

Selain itu Rakan Muda Masjid Hadhari turut menganjurkan program mengimarahkan masjid antaranya, kelas mengaji, kem pemantapan diri dan gotong-royong, yang sekali gus dapat memupuk ciri kepimpinan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 6:34 PM