MELENTUR buluh biarlah dari rebungnya. Peribahasa itu sesuai menggambarkan inisiatif Masjid Batu 2 1/2 Mak Chili di sini, untuk menggalakkan remaja dan kanak-kanak di kawasan itu menunaikan solat Subuh berjemaah.
Kempen Solat Subuh di Masjid melalui pemberian insentif duit saku RM3 setiap seorang ternyata mendorong golongan itu hadir ke masjid sebelum ke sekolah setiap pagi.
Timbalan Pengerusi Masjid Batu 2 1/2 Mak Chili Johan Ismail berkata, kempen itu bermula pada 1 Januari lalu dan sehingga kini mendapat sambutan menggalakkan.
“Pada hari pertama, 50 pelajar sahaja hadir solat Subuh berjemaah di masjid itu, tetapi sekarang jumlah kehadiran lebih 80 pelajar.
“Setiap seorang diberikan wang saku RM3 sebagai penghargaan atas kehadiran mereka ke masjid pada waktu Subuh untuk solat berjemaah.
“Selepas solat Subuh berjemaah, mereka perlu mendengar tazkirah ringkas selama 10 hingga 15 minit terlebih dahulu sebelum beratur dan diserahkan insentif itu oleh ahli jawatankuasa masjid,” katanya, semalam.
Johan berkata, pemberian insentif itu bukan semata-mata penghargaan kerana datang ke masjid menunaikan solat Subuh, tetapi juga membantu golongan yang memerlukan.
“Tidak semua pelajar dan murid di kawasan ini terdiri daripada golongan berkemampuan. Oleh itu, pemberian insentif itu secara tidak langsung memberi manfaat kepada golongan yang kurang bernasib baik.
“Bagi pelajar dan murid berkemampuan, mereka boleh menyimpan wang sekiranya tidak berbelanja di sekolah,” katanya.
Tambahnya, pemberian insentif itu hasil sumbangan orang ramai daripada tabung umum masjid.
Menurutnya, pelajar perempuan turut hadir solat Subuh berjemaah di masjid dan mereka juga mendapat insentif sama.
“Kempen itu diteruskan sehingga akhir Januari ini dan disambung pada Februari bergantung kepada keadaan semasa dan sambutan diterima.
“Alhamdulillah, sejak kempen itu dijalankan saf solat Subuh yang sebelum ini hanya tiga saf kini bertambah menjadi tujuh saf,” katanya.