GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang merancang untuk memperkenalkan vaksin kombinasi tetanus-difteria-pertusis (Tdap) kepada ibu hamil untuk memberi perlindungan terhadap batuk kokol, difteria dan tetanus dalam mengurangkan beban penyakit di kalangan bayi baru lahir.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, KKM menyedari insiden penyakit batuk kokol adalah tinggi dalam kalangan bayi baru lahir yang masih belum cukup umur untuk menerima vaksin ini pada usia dua bulan.

Katanya, pihaknya turut mengambil berat akan keselamatan ibu dan kanak-kanak semasa wabak Covid-19.

"Sebab itulah kerajaan memberikan vaksin Covid-19 kepada ibu hamil dan kanak-kanak lima hingga 11 tahun melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak Kebangsaan (PICKids).

"Kajian keselamatan dijalankan secara terperinci sebelum vaksin itu diluluskan oleh Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk dua golongan ini.

"Saya berharap ibu hamil dan ibu bapa yang mempunyai anak yang berumur di antara lima hingga 11 tahun dapat memanfaatkan usaha kerajaan ini dengan pergi mendapatkan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin sedia ada selewat-lewatnya pada 15 Mei ini ," katanya pada perasmian Forum Media Immunise4life - "Suntikan Kasih Ibu dan Bayi" hari ini.

Forum lebih satu jam itu membariskan ahli panel seperti Perunding Pediatrik dan Neonatologi, KPJ Damansara

Datuk Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Obstetrik dan Ginekologi dan Feto-Maternal, Prof Dr Jamiyah Hassan, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Ketua Sektor Penyakit Cegahan Vaksin/ Bawaan Makanan dan Air, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Mohd Hanif Zailani dan pempengaruh, Iman Abdul Rahim.

Ia dihoskan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Immunise4 Life Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail.

Sementara itu Dr Mohd Hanif berkata, pemberian sebelas vaksin percuma di fasiliti KKM tidak bermaksud vaksin lain tidak penting, sebaliknya ia disyorkan oleh pakar bagi memberi perlindungan optimum.

"Penting untuk mendapatkan vaksin selain yang disediakan KKM, cuma ia perlu diperoleh di luar sama ada klinik atau swasta.

"Vaksin yang dimasukkan di dalam program imunisasi kebangsaan berdasarkan banyak pertimbangan. Contohnya vaksin pneumokokal yang diperkenalkan pada tahun 2020 sebab ia ada potensi untuk memberi masalah kepada kesihatan awam," katanya.

Dalam pada itu menjawab isu ibu bapa yang enggan memberikan vaksin Covid-19, Dr Musa berkata, ia perlu bagi mengelakkan sindrom keradangan pelbagai sistem dalam kanak-kanak (MISC)

Katanya hanya ada dua kesan sampingan yang berlaku selepas pengambilan vaksin iaitu alahan yang teruk dan imflamasi jantung.

"Tiada kematian, tiada terencat akal daripada alahan ini dengan nisbah kematian satu dalam sejuta.

"Kalau ambil vaksin, risiko dalam imflamasi jantung ialah satu dalam sejuta. Kalau anak anda kena Covid-19, risiko untuk imflamasi jantung ialah 40 kali ganda. Kalau anak anda kena MISC, risiko untuk kena imflamasi jantung adalah 75 hingga 100 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 6:31 PM