Aizat Sharif


JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sentiasa memastikan sukatan pelajaran yang diajarkan kepada kanak-kanak di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) kekal relevan dan mampu bersaing dengan tadika swasta di negara ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun berkata, walaupun wujud dakwaan bahawa silabus yang diajarkan di Tabika KEMAS sudah ketinggalan berbanding tadika swasta lain, ia adalah satu dakwaan yang tidak benar dan tiada keperluan untuk merombak semula silabus yang sedia ada.

“Silabus yang diajarkan di Tabika KEMAS sebenarnya adalah seiring dengan perkembangan semasa.

“Tiada keperluan untuk dirombak semula silabus yang diajarkan itu namun ia akan ditambah baik dari masa ke semasa bagi memastikan kanak-kanak yang mengikuti pembelajaran di institusi ini tidak ketinggalan dengan perubahan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri lawatan kerja di sebuah pusat servis kenderaan di Kubang Rotan, Alor Setar, hari ini.

RINA (dua kanan) mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Prowheels (M) Sdn Bhd, Muhamad Solahuddin Mustafa (kanan) berhubung teknik penukaran tayar automatik ketika lawatan Projek Mara Prowheel di Kampung Kuala Sungai, Mukim Kubang Rotan. FOTO Amran Hamid
RINA (dua kanan) mendengar taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Prowheels (M) Sdn Bhd, Muhamad Solahuddin Mustafa (kanan) berhubung teknik penukaran tayar automatik ketika lawatan Projek Mara Prowheel di Kampung Kuala Sungai, Mukim Kubang Rotan. FOTO Amran Hamid

Katanya, silabus yang diajarkan di Tabika KEMAS juga turut mendapat pengiktirafan daripada pihak majalah terkenal Reader Digest pada 2017.

“Selain itu dari masa ke masa, bayaran yang dikenakan bagi pembelajaran di Tabika KEMAS ini jauh lebih rendah daripada tadika swasta.

“Namun, itu tidak bermakna silabusnya juga ketinggalan zaman kerana kita sering melihat perkembangan semasa yang sesuai diterapkan kepada kanak-kanak di sekolah ini seperti program STREAM yang mengaplikasikan keadaan semasa seperti penerbangan dan robotik kepada kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata, sambutan kepada pembelajaran kanak-kanak di Tabika KEMAS di bandar besar seperti Kuala Lumpur juga memberangsangkan.

“Kita ada Tabika KEMAS di bandar tetapi selalunya penuh.

“Jadi ini menunjukkan pengajaran di Tabika KEMAS ini juga setanding dengan tadika swasta yang lain,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan beliau melancarkan tayar dan produk penjagaan kenderaan yang dihasilkan oleh usahawan bumiputera.

Turut hadir adalah Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan kerajaan negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 8:05 PM