THING Han (kiri) dan pegawai serta pengkuat kuasa KPDNHEP Joohor melancarkan  Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2022 di Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass
THING Han (kiri) dan pegawai serta pengkuat kuasa KPDNHEP Joohor melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2022 di Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor memberi jaminan bekalan ayam di negeri ini mencukupi menjelang Aidilfitri dan selepas perayaan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Thing Han berkata, KPDNHEP juga akan sentiasa memantau harganya supaya tidak dimanipulasi.

Beliau berkata, peniaga, peruncit dan semua pihak terbabit didapati mematuhi harga ayam RM8.90 sekilogram yang sudah ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, malah setakat ini bekalan dan harga ayam terkawal di negeri ini dan pihaknya hanya menerima aduan di peringkat runcit.

"Sebelum ini harga ayam naik sehingga RM10 tetapi KPDNHEP buat tindakan penguatkuasaan.

"Kita mohon kerjasama peniaga, syarikat terbabit dan pasar raya tidak menaikkan harga sesuka hati.

"Bagi pengguna pula boleh buat aduan jika ada pihak yang menaikkan harga," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan dan tinjauan barang keperluan sempena pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2022 di sebuah pasar raya di pusat beli belah di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Johor, Mohd Hanizam Kechek dan 15 anggota penguat kuasa kementerian berkenaan.

Thing Han berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim dan mereka yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Seramai 200 anggota penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negeri akan mempertingkatkan pengkuatkuasaan dan pemantauan harga barangan.

"Pengguna boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi peraturan sepanjang tempoh skim itu dilaksanakan iaitu dari 26 April hingga 7 Mei ini dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kepada pihak kementerian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 4:27 PM