ZUHAIRI Mat Radey ketika ditemui media selepas tinjauan harga barangan kawalan skim harga maksimum musim perayaan Deepavali 2022. FOTO Genes Gulitah
ZUHAIRI Mat Radey ketika ditemui media selepas tinjauan harga barangan kawalan skim harga maksimum musim perayaan Deepavali 2022. FOTO Genes Gulitah
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menerima 93 aduan dan membuka 180 kertas siasatan berhubung bekalan ayam dan telur.

Pengarahnya, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pihaknya juga menjalankan pemeriksaan di 5,999 premis sejak 5 Februari sehingga semalam.

"Berdasarkan aduan diterima, pegawai penguat kuasa akan segera ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan sekali gus mengekang masalah berlarutan selain memastikan bekalan mencukupi.

"Kedua-dua barangan itu masih dalam pewartaan barangan harga terkawal yang berkuat kuasa sejak 12 Oktober lalu.

"Setakat ini, pemantauan mendapati bekalan ayam dan telur ayam di Selangor adalah stabil. Jadi orang ramai tidak perlu bimbang mengenai keberadaan bekalan itu di pasaran dan tidak membuat pembelian panik terutama pada musim perayaan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Mohd Zuhairi berkata, seramai 260 pegawai penguat kuasa dan 67 pegawai pemantau harga akan menjalankan pemantauan sepanjang SHMMP Deepavali yang bermula semalam sehingga 26 Oktober ini.

Menurutnya, pemeriksaan memfokuskan kepada pematuhan peniaga runcit dan borong terhadap penggunaan tanda harga merah jambu bagi lapan jenis barangan harga terkawal di bawah SHMMP Deepavali.

"Hasil pemeriksaan hari ini mendapati premis diperiksa mematuhi skim dan memberi kerjasama yang baik.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang tidak mematuhi pelaksanaan skim mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

Ditanya mengenai kes pemborong telur di Meru, Klang, yang mengenakan caj pengendalian kepada pembeli seperti tular di media sosial sebelum ini, beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak KPDNHEP Melaka.

Katanya, KPDNHEP Selangor sudah merakam keterangan pemborong terbabit yang mendakwa mengenakan caj berkenaan berikutan caj sama dikenakan oleh pembekal dari Melaka.

Susulan itu, katanya, pihaknya meminta kerjasama KPDNHEP Melaka untuk menjalankan siasatan terhadap pembekal itu.

Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran yang dibuat di Facebook Meru Klang Residents Official yang mendakwa premis terbabit mengenakan caj pengendalian kepada pengguna sebanyak 60 sen malah sebelum ini, kotak telur juga dikenakan caj.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 5:08 PM