ORANG ramai membuat persediaan membeli belah sempena menyambut Aidilfitri yang bakal tiba di Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR ). FOTO Aswadi Alias.
ORANG ramai membuat persediaan membeli belah sempena menyambut Aidilfitri yang bakal tiba di Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR ). FOTO Aswadi Alias.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Keghairahan rakyat Malaysia berbelanja terutamanya penerima pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disifatkan penyelamat kitaran ekonomi domestik ketika pandemik Covid-19 masih melanda.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, namun masyarakat terutama yang memperoleh wang KWSP dinasihatkan supaya tetap mengamalkan sikap jimat-cermat.

Katanya, walaupun itu adalah wang sendiri tetapi ia hakikatnya ia adalah duit simpanan masa tua.

"Jika wang itu digunakan secara berhemah khususnya raya ini, diyakini penerima wang itu akan lebih matang untuk bersiap-sedia di masa akan datang jika ada lagi bencana penyakit atau bencana alam yang tidak dijangka.

"Perlu diingatkan dalam hal bencana Covid-19, kita sudah dilatih secara tidak langsung selama dua tahun untuk bersederhana.

"Anggaplah ia ujian Allah SWT kepada kita sebagai peringatan untuk terus kekal bersederhana dan tidak berlebih-lebih, " katanya.

Beliau berkata, membeli untuk keperluan Aidilfitri adalah sekadar untuk meraikan perayaan itu selepas sebulan berpuasa.

"Bukannya untuk menunjuk-nunjuk seperti segelintir netizen yang cuba menayang kemewahan sementara.

Beliau berkata, wang simpanan hari tua yang boleh dikeluarkan itu bukanlah 'durian runtuh' untuk mewah berbelanja sakan semata-mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 3:12 PM