GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Kuching: Vaksin Covid-19 Comirnaty keluaran Pfizer dengan nombor kelompok FK9414 telah diberi kelulusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi pelanjutan tempoh jangka hayat daripada enam bulan kepada sembilan bulan untuk bebuli (vial) vaksin yang disimpan pada suhu -90°C sehingga -60°C.

Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Ooi Choo Huck berkata, ia adalah tambahan tiga bulan daripada tarikh asal yang dicetak pada label vial.

"Cetakan tarikh luput pada vial bernombor kelompok FK9414 adalah 02/2022.

"Tarikh luput asal adalah pada 28 Februari 2022 dan tarikh luput baharu adalah pada 31 Mei 2022," katanya pada kenyataan hari ini, berikutan video yang tular di media sosial baru-baru ini berkenaan isu pemberian vaksin yang sudah melepasi tarikh luput.

Sehubungan itu, beliau berkata, vaksin itu adalah selamat untuk digunakan sehingga 31 Mei ini.

Menjelaskan lanjut, Dr Ooi berkata, penentuan jangka hayat produk farmaseutikal termasuk vaksin Covid-19 ditetapkan berdasarkan ujian kestabilan produk vaksin yang dijalankan pengilang.

Katanya, ujian itu dijalankan pada masa nyata untuk suhu penyimpanan yang tertentu.

"Vaksin Covid-19 telah dibangunkan dalam jangka masa yang singkat (kurang daripada dua tahun) sebagai tindak balas kepada pandemik berkenaan berbanding tempoh pembangunan biasa sesuatu produk farmaseutikal.

"Oleh itu, tempoh ujian dijalankan untuk menentukan jangka hayat vaksin adalah terhad.

"Pengilang hanya dibenarkan untuk meletakkan tarikh luput berdasarkan tempoh kestabilan vaksin itu telah diuji pada masa nyata dan bukan secara ekstrapolasi," katanya.

Dr Ooi menambah, sekiranya pengilang mempunyai data tambahan setelah ujian lanjut dijalankan, permohonan pelanjutan jangka hayat vaksin akan dikemukakan kepada NPRA untuk dinilai.

Katanya, pelanjutan tempoh jangka hayat produk vaksin berkenaan hanya akan diluluskan setelah hasil penilaian dapat mengesahkan ia memenuhi keperluan regulatori.

Selain itu, Dr Ooi berkata, tempoh jangka hayat vaksin Covid-19 juga akan berubah sekiranya terdapat perubahan kepada suhu penyimpanan.

"Oleh itu, tarikh luput baharu akan diberikan kepada produk terbabit.

"Produk masih selamat untuk diadministrasi selagi mana ia belum melangkaui tarikh luput baharu," katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai supaya tidak meragui keselamatan vaksin yang diterima.

Katanya, Jabatan Kesihatan Sarawak sentiasa komited dalam memastikan vaksin Covid-19 adalah berkualiti, selamat dan berkesan serta tidak berkompromi daripada segi keselamatan vaksin yang diberikan kepada orang ramai.

"Pemantauan berterusan termasuk aspek penyimpanan serta tarikh luput vaksin sentiasa dilakukan untuk memastikan vaksin Covid-19 adalah berkualiti, berkesan dan selamat digunakan," katanya.

Orang awam boleh melayari https://www.npra.gov.my berkaitan maklumat nombor kelompok yang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 2:54 PM