AMAL Abdul Aziz (tiga dari kiri) bersama media yang hadir pada Majlis LBS Iftar Bersama Media di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
AMAL Abdul Aziz (tiga dari kiri) bersama media yang hadir pada Majlis LBS Iftar Bersama Media di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Rumah Selangorku Idaman BSP di bawah projek LBS Bina Group Berhad (LBS) sudah menerima lebih daripada 90 peratus tempahan sehingga kini sejak dilancarkan pada November tahun lalu.

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat LBS, Amal Abdul Aziz berkata, Rumah Selangorku Idaman BSP adalah projek fasa pertama di bawah LBS yang dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

"LBS dengan kerjasama anak syarikatnya, MGB Berhad diberikan tanggungjawab oleh kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI untuk membina 7,210 Rumah Selangorku Idaman MBI, di mana projek fasa pertama kita adalah Rumah Selangorku Idaman BSP.

"Perkembangannya amat memberangsangkan, sangat baik..buat masa sekarang ini kita menerima tempahan kira-kira 1,180 unit bagi projek Rumah Selangorku Idaman BSP di mana selebihnya masih lagi dalam proses kelulusan bank dan pinjaman, memandangkan segala permohonan Rumah Idaman ini perlu melalui kelulusan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

"Kita juga sudah memulakan pembinaan Rumah Selangorku Idaman BSP yang membabitkan 1,312 unit dan dijangka siap sepenuhnya pada 2024," katanya ketika ditemui di Majlis LBS Iftar bersama Media di Hotel Mardhiyyah di sini, hari ini.

Pada masa sama katanya, LBS Group melancarkan rumah contoh di dua galeri jualan yang mempunyai ukuran saiz sebenar termasuk kedudukan perabot, perkakasan elektrik di dalamnya.

"Ini membabitkan dua lokasi iaitu di Galeri Jualan KITA Cybersouth dan Galeri Jualan LBS Alam Perdana, di mana di KITA Cybersouth kini sudah bersedia untuk menerima pelawat manakala di Galeri Jualan Alam Perdana dijangka siap sekitar Mei tahun ini.

"Keistimewaan rumah contoh ini adalah kerana ia terletak di dalam galeri jualan, justeru orang ramai boleh melihat sendiri rumah contoh ini," katanya.

Pada Oktober tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan projek Rumah Selangorku Idaman MBI yang miliki keluasan 1,000 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir berharga RM250,000 dengan kerjasama LBS Bina Group dan MGB Berhad.

Rumah Selangorku Idaman MBI dibina khas untuk rakyat yang bekerja serta tinggal di Selangor dan pertama kali memiliki rumah membabitkan lokasi di Bandar Saujana Putra, Shah Alam , Cybersouth, Puchong dan Alam Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 12:16 AM