MOHAMMAD Shakib mempersembahkan SOP aktiviti selam skuba dan Island Hoping kepada Sultan Ibrahim di Istana Flinstones, Mersing. FOTO Ihsan RPO
MOHAMMAD Shakib mempersembahkan SOP aktiviti selam skuba dan Island Hoping kepada Sultan Ibrahim di Istana Flinstones, Mersing. FOTO Ihsan RPO
Omar Ahmad


Mersing: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah penyediaan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti selam skuba di perairan Mersing perlu lebih ketat dengan menitikberatkan pelbagai perkara penting sebelum dikuatkuasakan.

Baginda dalam hantaran baharu di laman sosial facebook, bertitah penguatkuasaan SOP itu perlu memastikan perkara seperti lesen menyelam yang sah, rekod penyelenggaraan peralatan, rekod laporan terkini perubatan penyelam, insuran serta buku catatan rekod penyelam sentiasa dikemaskini.

"Saya meneliti dan memperhalusi setiap SOP berkaitan aktiviti selam skuba yang disediakan Pejabat Daerah Mersing serta Majlis Daerah Mersing bersama beberapa jabatan serta agensi penguatkuasaan lain.

"Saya juga bertitah beberapa perkara penting berkaitan aktiviti selam skuba dan turut menitahkan kepada Pegawai Daerah Mersing supaya turut membabitkan sama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Persatuan Selam Skuba Malaysia," titah baginda.

Sultan Ibrahim sebelum itu, berkenan menerima mengadap Pegawai Daerah Mersing selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah Mohammed Shakib Ali di Istana Flinstones, di sini, hari ini.

Pada pertemuan itu, Mohammad Shakib turut mempersembahkan kepada baginda mengenai SOP aktiviti selam skuba dan 'Island Hopping' di perairan Mersing.

Sementara itu, Mohammad Shakib berkata, Sultan Ibrahim turut berkenan untuk mempengerusikan satu mesyuarat bersama wakil jabatan, agensi penguatkuasaan serta persatuan selam skuba.

"Mesyuarat akan diadakan dalam tempoh terdekat dengan memperhalusi setiap SOP sebelum dikuatkuasakan," katanya.

Terdahulu, Sultan Johor ada menitahkan semua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan sementara waktu sehingga kajian semula seluruh SOP keselamatan aktiviti menyelam di daerah berkenaan selesai.

Ia susulan kejadian empat penyelam hilang ketika aktiviti latihan selaman di perairan Pulau Tokong Sanggul pada 6 April lalu.

Dalam kejadian itu, tiga penyelam ditemui selamat iaitu, jurulatih selam warga Norway, Kristine Grodem, 35 dan dua lagi warga Britain, Adrian Peter Chesters, 46 serta warga Perancis, Alexia Alexandria Molina, 18.

Namun anak kepada Adrian, remaja Belanda Nathan Renze Chasters, 14 dilaporkan sudah meninggal dunia dan belum ditemui sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 6:32 PM