Ketua Polis daerah Mersing, Superitendan Cyril Edward (kanan), Mohammed Syakib (tengah) melihat keluasan sektor pencarian Op Carilamat hari ketiga. FOTO OMAR AHMAD
Ketua Polis daerah Mersing, Superitendan Cyril Edward (kanan), Mohammed Syakib (tengah) melihat keluasan sektor pencarian Op Carilamat hari ketiga. FOTO OMAR AHMAD
Oleh Omar Ahmad


Mersing: Aktiviti selam skuba dan snorkeling di perairan daerah ini yang dihentikan bermula semalam susulan operator bot dalam kejadian empat penyelam hilang didapati positif dadah hanya akan diteruskan selepas penilaian risiko berkaitan aktiviti laut dilakukan.

Pegawai Daerah Mersing, Mohammed Shakib Ali berkata, penilaian risiko yang diketuai Majlis Daerah Mersing (MDM) sedang bermula dan dijangka siap minggu depan bergantung kepada operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya penilaian itu turut membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, polis dan persatuan-persatuan bot pelancong.

"Akiviti 'island hoping' akan diteruskan apabila kita nilai semula penilaian risiko tentang aktiviti di laut. Penilaian risiko ini lebih fokus kepada pengendali bot pelancong," katanya.

Mohammed Shakib Ali berkata, insiden membabitkan operator bot pelancongan didapati positif dadah adalah kali kedua dikesan berlaku di daerah ini.

Katanya, insiden itu boleh menyebabkan pelancong yang datang ke daerah ini ragu-ragu terhadap pemandu bot terutamanya membabitkan soal keselamatan.

"Mesti ada satu pendekatan untuk kita bersama-sama dengan persatuan atau pemilik bot bagi pantau pekerja mereka dalam mengendalikan aktiviti di laut.

"Kita tidak mahu pelancong datang ada perasaan ragu-ragu terhadap pemandu bot atau sebagainya," katanya kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing di sini, hari ini.

Menurut Mohammed Shakib, Majlis Daerah Mersing (MDM) dalam peringkat pelaksanaan untuk menguatkuasakan peraturan aktiviti di air mengikut Undang-Undang Kecil Trade dan Perniagaan.

Katanya, di bawah peraturan itu akan dimasukkan syarat bahawa setiap 'dive center' perlu mempunyai lesen selain perlu melaporkan setiap aktiviti mereka serta setiap aktiviti dikenakan yuran bayaran setimpal," katanya.

Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menitahkan semua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan sementara waktu.

Baginda turut bertitah supaya peraturan berkaitan aktiviti menyelam dikaji semula secara menyeluruh.

Titah itu susulan kehilangan empat penyelam warga asing di sekitar Pulau Tokong Sanggol di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Mohammed Syakib berharap semua pihak menghormati masa dan ruang sukar yang sedang dilalui terutama kepada mangsa, keluarga dan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

"Saya mengambil maklum pemberhentian aktiviti berkenaan menjadi rungutan kepada pengusaha bot yang memberi komen dan pandangan di media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 3:00 PM