SEBANYAK 3,000kg karkas babi hutan dianggarkan bernilai RM75,000 yang cuba diseludup ke Thailand berjaya dirampas di sebuah pangkalam haram di Pengkalan Kubor. FOTO Ihsan PGA
SEBANYAK 3,000kg karkas babi hutan dianggarkan bernilai RM75,000 yang cuba diseludup ke Thailand berjaya dirampas di sebuah pangkalam haram di Pengkalan Kubor. FOTO Ihsan PGA
Siti Rohana Idris

Tumpat: Cubaan menyeludup tiga tan karkas babi hutan oleh sekumpulan lelaki digagalkan Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA7) yang menyerbu lokasi pemunggahannya di sebuah pangkalan haram di Pengkalan Kubor di sini, jam 7.20 petang semalam.

Serbuan dijalankan ketika penjenayah memunggah karkas babi terbabit daripada lori ke dalam bot di Sungai Golok.

Pegawai Pemerintah Medan Superintendan Azhari Nusi berkata, terdahulu, pihaknya dengan bantuan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman membuat pemantauan dari udara menggunakan dron selama setengah jam.

"Hasilnya, kami mengesan beberapa individu dalam keadaan mencurigakan sedang memunggah sesuatu daripada lori ke dalam bot di pengkalan haram terbabit.

"Kami menahan lima lelaki tempatan berumur 20 hingga 44 tahun dan menyita sebuah lori.

"Pemeriksaan di belakang lori menemui karkas babi hutan terbabit bernilai RM75,000 yang cuba diseludup ke negara jiran," katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubur manakala karkas akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Dalam kes berasingan, PGA9 menahan dua lelaki tempatan berusia 23 dan 50 tahun kerana memindahkan tiga lembu tanpa dokumen dan permit berkaitan kebenaran pindah keluar haiwan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Azhari berkata, tangkapan dibuat jam 9.45 malam tadi di Kampung Neting di sini, apabila pihaknya mendapati sebuah lori dipandu dalam keadaan mencurigakan ketika sedang melakukan rondaan.

"Anggota mengarahkan pemandunya berhenti untuk pemeriksaan dan kami menemui lembu terbabit cuba dipindah keluar ke destinasi lain.

"Pemandu kenderaan gagal mengemukakan dokumen dan permit daripada JPV. Jumlah rampasan termasuk lori ialah RM37,600," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 3:18 PM