Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Akibat tidak diberi gaji, seorang lelaki bertindak menyerang majikannya dengan menggunakan kapak dan pisau lipat, dalam kejadian di Jalan Penang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 9.50 pagi itu, mangsa dikatakan ke kedai berkenaan bagi menuntut gaji seperti yang dijanjikan majikannya yang juga pemilik kedai gambar.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek berusia 48 tahun itu dijanjikan bayaran gaji sebanyak RM1,700 oleh majikannya sebelum diberhentikan kerja.

Berikutan itu, suspek meminta majikannya menjelaskan baki gaji dan tidak mendapat bayaran seperti yang dijanjikan.

"Berang dengan majikannya, suspek bertindak menyerang mangsa dengan menggunakan kapak dan pisau lipat.

"Mangsa yang juga lelaki berusia 67 tahun itu tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Shuhaily, suspek yang sudah ditahan dan sedang mendapatkan perintah reman oleh mahkamah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 5:46 PM