FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Norizuan Shamsuddin


LELAKI parah di pinggang selepas ditikam rakan serumah di sebuah rumah di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, semalam.

Dalam kejadian 9 malam itu, lelaki berusia 31 tahun itu sempat menghubungi polis memaklumkan kejadian menimpanya.

Menurut sumber, kejadian berlaku susulan tindakan mangsa menyepak dan memaki hamun suspek yang sedang tidur sebelum kejadian itu.

“Terkejut dan berang dengan perbuatan mangsa, suspek yang gagal mengawal perasaan marah bertindak menikam mangsa di pinggang kiri dengan pisau lipat.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa dari Kampung Beladau Kepong, Kuala Terengganu parah,” katanya hari ini.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan, manakala suspek berusia 37 tahun turut ditahan di lokasi kejadian.

Sumber berkata, siasatan mendapati suspek yang positif dadah methamphetamine turut memiliki dua rekod lampau berkaitan dadah dan curi kenderaan.

Katanya, polis turut merampas pisau lipat yang digunakan suspek untuk menyerang mangsa.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan tangkapan suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah dengan senjata atau benda berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 6:05 PM