Siti Rohana Idris

Tumpat: Sejak 20 tahun lalu, Nor Hayati Salleh hanya meniarap dan baring di satu sudut ruang tamu rumah. Bukan tidak mahu bergerak, namun keadaan diri wanita berusia 21 tahun ini yang berstatus orang kurang upaya (OKU) cacat fizikal tidak memungkinkan dia aktif.

Sekiranya perlu bergerak, Nor Hayati akan berguling atau mengesot, mengikut mana yang mudah buat dirinya, manakala pertuturannya juga tidak jelas.

Nor Hayati yang dilahirkan kembar menumpang kasih ibu saudaranya, Nor Salbiah Mat Roni, 40, manakala adik kembarnya yang tiada kecacatan menetap di Gua Musang bersama saudara yang lain.

Sejak kecil, mereka tidak merasa kasih sayang orang tua sendiri memandangkan ditinggalkan ibu kandung yang berasal dari Thailand ketika berusia dua bulan, manakala bapa berkahwin lain dan tinggal di Golok.

Menurut Nor Salbiah, Nor Hayati atau mesra dipanggil Ira dijaga neneknya sehingga 12 tahun, sebelum dia mengambil alih tugas itu.

"Selepas emak saya meninggal dunia kira-kira sembilan tahun lalu, Ira berada dalam jagaan saya sepenuh masa dan kami adik-beradik sudah menganggapnya sebagai anak sendiri kerana simpati dengan nasib yang dialami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Sawa di sini, hari ini.

NOR Hayati atau Ira perlukan kerusi roda untuk mudahkan pergerakan. FOTO Siti Rohana Idris.
NOR Hayati atau Ira perlukan kerusi roda untuk mudahkan pergerakan. FOTO Siti Rohana Idris.

Nor Salbiah berkata, dia bimbang pergerakan Ira semakin terbatas disebabkan lantai rumah yang tidak rata berikutan kayu reput akibat ditenggelami banjir setiap tahun.

"Ira hanya berguling untuk mandi dan buang air sahaja dan banyak kesan melecet serta lebam di kedua belah siku kerana digunakan untuk menongkat setiap kali bergerak.

"Tandas dan bilik mandi kami terletak di luar rumah, namun untuk memudahkan Ira, kami sediakan satu ruang sempit di dapur untuknya membersihkan diri," katanya yang hanya menjual makanan secara kecil-kecilan untuk menyara hidup.

Menurutnya, dia sangat berharap ada pihak yang dapat menyumbangkan kerusi roda buat Ira dan membina tandas untuk kemudahan anak saudaranya disebabkan mereka tidak berkemampuan menyediakan semua itu.

Katanya, Ira yang dilahirkan di Hospital Sungai Golok, Thailand pula tiada dokumen lengkap untuk melayakkan dia menerima bantuan pihak berkuasa di sini.

Bagi yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Salbiah di talian 0168688432.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 1:11 PM