Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Pasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau kawasan rumah antara taktik digunakan tokan dadah di Kampung Surau Haji Yaakob, Bukit Payong di sini bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

Bagaimanapun, cubaan lelaki berusia 54 tahun yang juga duda anak satu tidak berhasil apabila rumah sewanya diserbu polis, 12.50 malam Isnin lalu menerusi serbuan Op Jihad Dadah 2.0/Op Tapis Khas 3.0 yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Marang.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, serbuan dilakukan pihaknya susulan maklumat dan risikan mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di dalam rumah suspek menemui pil yaba yang dianggarkan seberat 555.20 gram dan syabu yang dianggarkan seberat 13.20 kilogram dengan berat keseluruhan hampir 14 kilogram.

Katanya, pihaknya turut menyita wang tunai RM12,140 manakala suspek yang positif methamphetamine mempunyai 19 rekod lampau berkaitan dadah.

"Semakan juga mendapati suspek dipercayai mula terbabit dalam dadah bermula 1998 dan dia yang kini dalam perbicaraan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini hari ini.

MOHD Zain (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MOHD Zain (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Mohd Zain berkata, hasil soal siasat suspek memaklumkan bekalan dadah berkenaan adalah untuk pasaran di sekitar Terengganu dan Pahang.

Beliau berkata, suspek bergerak solo dan menjadikan rumah sewa itu sebagai tempat untuk memproses dadah sebelum dijual kepada pengedar.

"Hasil penelitian mendapati empat CCTV dipasang di rumah berkenaan dipercayai untuk mengesan kehadiran polis.

"Kita juga sedang menyiasat sama ada suspek ini mempunyai hubungan dengan dua suspek yang ditembak mati di Kuala Terengganu pada awal April lalu.

"Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 24 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 1:40 PM