ANNUAR menyampaikan sumbangan kepada pelajar tahfiz. FOTO Mohd Amin Jalil.
ANNUAR menyampaikan sumbangan kepada pelajar tahfiz. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang sebulat suara memutuskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) boleh membantu menamatkan ketidaktentuan rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, rakyat tertanya-tanya mengenai kedudukan Ismail Sabri jika PRU-15 diadakan.

"MKT Umno buat ketetapan yang cukup bijaksana sebab rakyat tertanya-tanya di mana kedudukan Perdana Menteri jika diadakan PRU.

"Mereka juga tertanya siapakah yang Umno hendak ketengahkan sebagai calon Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan selepas PRU nanti.

"Ketidaktentuan itu disempurnakan dengan baik oleh MKT Umno dengan menamakan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, saya rasa itu suatu tindakan yang strategik dan tepat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Iftar Ramadan Bersama Media Negeri Sembilan di sini, malam ini.

Annuar berkata, keputusan itu akan dapat memberikan kelebihan kepada Umno dan membolehkan parti menambah kekuatan serta dapat meraih sokongan dan dokongan yang padu bukan sahaja dari kalangan ahli akar umbi tetapi juga daripada parti politik yang lain.

"Ini kerana mereka (parti lain) juga ingin mengetahui perkara yang sama. Saya ucapkan tahniah kepada Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kerana buat suatu penegasan yang tepat.

"Ini kerana Umno perlu mengambil kira sentimen rakyat di luar sana, bukan sahaja sentimen ahli dan akar umbi tetapi rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Mengulas mengenai langkah tidak meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) selepas tamat pada 31 Julai depan, Annuar berkata, ia juga keputusan yang tepat.

"Ia akan memberi kebebasan kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan berkaitan PRU-15.

"Selepas 31 Julai nanti, Ismail Sabri mempunyai ruang dan kelonggaran serta hak untuk menasihatkan kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan pembubaran Parlimen bagi diadakan PRU-15 yang mana itu adalah di bawah bidang kuasa beliau selaku Perdana Menteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 9:53 PM