Antara program peserta misi Muslim Care Malaysia (MCM) bantuan Care4Afghan 1.0 di Afghanistan pada November tahun lalu.
Antara program peserta misi Muslim Care Malaysia (MCM) bantuan Care4Afghan 1.0 di Afghanistan pada November tahun lalu.
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Selepas berjaya menyampaikan bantuan rakyat Malaysia kepada rakyat Afghanistan pada misi November tahun lalu, Muslim Care Malaysia (MCM) sekali lagi ke negara itu untuk tujuan serupa Ramadan ini.

Misi 10 hari itu dijangka berlepas dari Malaysia pada 7 April ini.

Setiausaha Agung MCM Ahmad Safuan Ujar berkata, misi kedua atau 'Care4Afghan 2.0' bertemakan 'Kembara Ramadan Afghan'.

"Sasaran anggaran nilai bantuan yang akan diagihkan adalah RM1 juta. Pada masa sama, kami sasarkan 2,000 orang akan mendapat manfaat iftar Ramadan berdasarkan tempoh masa kita berada di sana, tertakluk kepada jadual.

"Sebanyak 1,000 bakul makanan mengandungi keperluan asas seperti minyak masak, beras, tepung gandum, air mineral, arang dan kekacang turut diagih.

"Bakul makanan ini dijangka boleh bertahan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk sebuah keluarga lima hingga enam orang," katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, katanya, usaha MCM dalam misi pertama untuk memperkasakan wanita Afghanistan menerusi latihan kemahiran jahitan dengan bekalan mesin jahit juga akan diperluaskan dan diteruskan.

Beliau berkata, kerajaan Afghanistan diterajui Taliban sudah membenarkan pelajar perempuan untuk belajar, cuma fasiliti mereka terhad.

"Bagi pihak MCM, kita nampak yang sekarang ini perlu kita dahulukan adalah projek memberikan kemahiran jahitan profesional dengan latihan intensif enam bulan kepada golongan perempuan.

"Kita sudah ada sasaran, pada Ramadan kali ini, kita akan cuba membeli sebanyak mungkin mesin jahit dan memberikan latihan untuk golongan sasaran," katanya.

Menurut Ahmad Safuan, apabila peserta sudah melengkapkan latihan enam bulan, mesin jahit berkenaan akan dihadiahkan kepada mereka untuk mereka menjalankan perniagaan jahitan.

"Itu antara kemahiran dan ikhtiar kelangsungan hidup jangka panjang yang kita usahakan buat wanita Afghanistan menerusi dana sumbangan orang ramai," katanya.

Selain itu, katanya, untuk projek bekalan air bersih, pihaknya akan memantau semula pembinaan 67 telaga tiub serta menambah lagi kemudahan itu di beberapa kawasan.

Ahmad Safuan berkata, misi kali ini juga akan menyediakan bantuan biasiswa kepada lima penuntut pasca-siswazah dari Afghanistan untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.

Katanya, ia dijalankan dengan kerjasama Felo Kanan Institut Keamanan Global (GPI) London, United Kingdom Prof Madya Dr Mohd Mizan Aslam yang turut menyertai misi.

"Kita hendak jadikan MCM sebagai hab laluan akademik untuk penuntut pasca-siswazah rakyat Afghanistan untuk belajar di Malaysia," katanya.

Nilai keseluruhan bantuan yang diagih pada misi 'Afghan 1.0' sebelum ini adalah RM553,400.

Sumbangan untuk rakyat Afganistan boleh disalurkan secara atas talian melalui https://infaqpay.my/plus/care4afghan-mcm.

Ia juga boleh disalurkan melalui akaun Maybank Muslim Care Malaysia 5644 9041 3882, Bank Islam (1401 4010 1474 70) atau CIMB (8604 1716 75).

Orang ramai turut boleh menghubungi Presiden Muslim Care Malaysia Zulkifli Wahijan di talian 019-2518771, Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia Mohd Johari Ismail di 016-9978323 atau Ahmad Safuan di 013-4886447.

Pada masa sama, menurut Ahmad Safuan, bantuan masyarakat antarabangsa termasuk rakyat Malaysia, amat diperlukan untuk membangunkan semula negara berkenaan.

"Kami juga akan mengadakan pertemuan bersama pimpinan utama Taliban dalam usaha mengeratkan silaturahim selain memudahkan kerjasama pembangunan program," katanya.

Pada misi pertama, MCM sudah menemui Menteri Syuhada dan OKU Afghanistan Mula Abdul Majid, Menteri Pertanian Afghanistan Mawlawi Sader, Timbalan Menteri Pendidikan Afghanistan Mawlawi Keramatulla Akhond, Menteri Luar Negeri Afghanistan Amir Khan Motaqi, Menteri Perdagangan dan Industri Afghanistan Nooruddin Azizi iaitu wakil tunggal bukan Taliban, dan Gabenor Herat Maulana Islamjar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 3:45 PM