PERDANA Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara. FOTO ihsan PMO
PERDANA Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara. FOTO ihsan PMO
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025 perlu diaplikasikan oleh pelbagai industri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia selari dengan Revolusi Industri 4.0 seperti pertanian pintar, tenaga boleh baharu, industri halal dan teknologi perubatan.

Menurutnya, pembangunan produk teknologi nano seperti vaksin, ubat terapi kanser, peranti perubatan, teknologi sensor, baja nano, biojisim, panel solar serta pemanis dan perasa dalam produk halal mempunyai permintaan tinggi di pasaran global.

Katanya, permintaan itu juga secara tidak langsung akan melonjakkan ekonomi negara.

"Dalam tempoh lima tahun, pelan berkenaan akan memberi banyak faedah sosio ekonomi kepada negara termasuk mencipta 33,391 peluang pekerjaan.

"Ia merangkumi pekerja berkemahiran tinggi seramai 5,968 orang, separuh mahir (24,755 orang) dan kurang mahir sebanyak 2,668 orang.

"Industri ini dijangka menyumbang RM151.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam tempoh lima tahun," katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara.

Dalam pada itu, mesyuarat pertama pada tahun ini juga membincangkan pelbagai usaha kerajaan bagi merakyatkan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosio ekonomi negara.

Katanya, ia berlandaskan tiga teras utama Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Selain itu, katanya, mesyuarat juga membincangkan penawaran modal insan dan permintaan pasaran pekerjaan dalam sektor Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang memerlukan penyelesaian secara tuntas untuk meningkatkan daya saing STI negara.

"Kerajaan memandang serius jumlah pelajar dalam bidang STEM yang ketika ini pada kadar 47 peratus dan sains tulen sebanyak 19 peratus.

"Minat pelajar dalam bidang STEM perlu dipertingkatkan dan Kementerian Pendidikan diarah menerajui Hala Tuju STEM," katanya.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut menyentuh mengenai kepentingan mengetengahkan STI di peringkat komuniti melalui Malaysia Inovasi Sosial (MyIS).

Menurutnya, usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) itu adalah langkah yang baik dalam memperkasakan inovasi di peringkat akar umbi.

"Inisiatif ini dilihat mampu menganjakkan pengagihan ekonomi yang inklusif kepada semua peringkat pendapatan terutamanya B40 dan M40 dengan memfokuskan kepada pengaplikasian teknologi tempatan di peringkat akar umbi.

"Kerajaan menerusi penubuhan Inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) juga telah mempergiatkan pengkomersilan hasil inovasi tempatan yang berpaksikan kepada kemampanan sosio ekonomi negara," katanya.

Menurutnya, Mosti menerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama daripada semua pemegang taruh untuk menggubal Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN) bagi menangani isu penyakit zoonotik secara holistik.

Katanya, pelan itu tindakan susulan kerajaan selepas mengambil kira hubung kait antara kesihatan manusia dan alam semula jadi, biodiversiti dan perubahan iklim.

"Pandemik Covid-19 antara penyakit zoonotik mengakibatkan 6.1 juta kematian di dunia dan terdapat penyakit zoonotik lain seperti denggi dan zika yang juga berpunca daripada status keadaan alam semula jadi yang semakin terancam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 12:02 PM