Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (tengah) beramah mesra ketika menyampaikan Sumbangan Nur Ramadan kepada wakil Masjid Bukit Aman pada Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2022/1443H di Masjid Al-Firdaus, Segambut. FOTO AIZUDDIN SAAD
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (tengah) beramah mesra ketika menyampaikan Sumbangan Nur Ramadan kepada wakil Masjid Bukit Aman pada Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2022/1443H di Masjid Al-Firdaus, Segambut. FOTO AIZUDDIN SAAD
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Program Nur Ramadan yang berlangsung hingga 23 April ini memperuntukkan bantuan wang tunai RM500,000 kepada 2,500 golongan memerlukan di Wilayah Persekutuan (WP).

Hari ini, 145 daripada penerima di WP Kuala Lumpur menerima sumbangan itu yang disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di Masjid Al Firdaus, Segambut Luar.

Kementerian Wilayah Persekutuan dalam kenyataan berkata, program bertujuan menyantuni golongan memerlukan antaranya, anak yatim, warga emas, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di samping memupuk nilai kasih sayang serta kebersamaan dalam kalangan warganya.

Ia diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Wilayah Persekutuan, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan McDonald's Malaysia.

"Selain wang tunai, penerima (di WPKL) turut menerima sumbangan barangan keperluan seperti periuk nasi, beras dan kurma yang membabitkan peruntukan sebanyak RM183,425," kata kenyataan itu.

KWP turut menyumbang wang tunai berjumlah RM519,500 kepada 824 masjid, surau jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan bagi mengimarahkan Ramadan.

Dalam pada itu, McDonald's Malaysia berbesar hati dapat menaja makanan moreh kepada kira-kira 8,500 orang sepanjang penganjuran program itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 9:30 PM