Gambar hiasan
Gambar hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Menawarkan lesen memandu tanpa perlu melalui ujian dan kelas memandu. Itu dilakukan sindiket penipuan yang dikesan membuat iklan di media sosial.

Mereka menawarkan lesen memandu dengan harga bermula dari RM580 sehingga RM5,000 bagi mendapatkan lesen berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sehingga kini pihaknya menerima sembilan laporan berhubung penipuan terbabit.

"Tujuh laporan diterima di Pulau Pinang dan dua kes di Kelantan membabitkan kerugian keseluruhan bernilai RM17,080.

"Siasatan mendapati sindiket menawarkan lesen memandu tanpa perlu menghadiri sebarang ujian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada ketika melakukan urusan melalui internet atau laman sosial dengan menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon di Semak Mule.

"Orang ramai juga perlu berhati-hati ketika melakukan transaksi ke akaun yang tidak dikenali.

"Masyarakat juga diseru untuk mendapatkan lesen memandu melalui saluran yang betul. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 4:44 PM