TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail Baginda (tengah) menunjukkan replika resit pembayaran zakat fitrah berjumlah RM7 sambil diiringi oleh Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (kanan) dan Mohd Nazim Mohd Noor. FOTO Ihsan MAIPs
TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail Baginda (tengah) menunjukkan replika resit pembayaran zakat fitrah berjumlah RM7 sambil diiringi oleh Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (kanan) dan Mohd Nazim Mohd Noor. FOTO Ihsan MAIPs
Aizat Sharif


Kangar: Kadar bayaran zakat fitrah bagi umat Islam di Perlis pada tahun ini kekal pada kadar RM7.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penetapan kadar itu selaras dengan kelulusan Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang memperakukan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis untuk mengekalkan kadar fitrah pada tahun ini berdasarkan kepada harga beras yang lazimnya digunakan oleh masyarakat.

"Kadar bayaran zakat fitrah pada tahun ini kekal pada RM7 sama seperti tahun sebelumnya.

"Selain menunaikannya dengan bayaran tunai, umat Islam yang menunaikan zakat fitrah dengan beras pula ditetapkan pada kadar pengeluaran sebanyak satu gantang Nabawi bagi setiap seorang adalah bersamaan dengan 2.6 kilogram," titahnya.

Beliau bertitah demikian bersempena Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1443H anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dan MAIPs di Tapak Cerapan Hilal Negeri Perlis, Kompleks Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama juga, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, adalah menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam yang tinggal di negeri ini untuk mengeluarkan fitrah sepertimana yang ditetapkan bagi diri, isteri dan anak serta tanggungan lain.

Umat Islam juga boleh mengeluarkan zakat fitrah melalui amil kariah di seluruh negeri Perlis serta turut boleh menunaikannya dalam talian serta boleh melayari laman web MAIPs di www.maips.gov.my untuk maklumat lanjut.

Dalam majlis yang sama juga, baginda yang juga Yang DiPertua MAIPs turut berkenan melancarkan penerbitan Sebaran "Adab-adab Berbuka Puasa Menurut Sunnah" terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Menurut Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, sebaran penerbitan berkenaan adalah bertujuan untuk menggalakkan umat Islam supaya sentiasa menghayati dan mengamalkan adab berbuka puasa yang bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW.

Turut mengiringi baginda adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 8:39 AM