HISHAMMUDDIN  bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri 2, Datuk Jonathan Yasin (kiri) hadir ke majlis penghargaan dan pengumuman pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024. FOTO Asyraf Hamzah
HISHAMMUDDIN bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri 2, Datuk Jonathan Yasin (kiri) hadir ke majlis penghargaan dan pengumuman pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024. FOTO Asyraf Hamzah
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Usaha memasukkan Brunei dan Thailand dalam Perjanjian Kerjasama Kuartet bagi memelihara keamanan dan keselamatan di Laut Sulu serta Selat Melaka sedang giat dijalankan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia, Indonesia dan Filipina bersetuju Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) perlu dikembangkan menjadi perjanjian kuartet dengan pembabitan Brunei.

"Ketika ini, kita sedang menunggu perkenan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah untuk merealisasikan hasrat berkenaan.

"Saya boleh umumkan hari ini bahawa jika Sultan Brunei berkenan dengan cadangan dibuat, kita sedang melihat kepada usaha menukar Perjanjian Kerjasama Trilateral kepada Perjanjian Kerjasama Kuartet.

"Hasil perbincangan bersama rakan sejawat dari Indonesia, Prabowo Subianto dan Filipina, Delfin Lorenzana, kita merasakan sudah tiba masanya untuk memasukkan Brunei dalam perjanjian baharu itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Mengulas mengenai perbincangan TCA membabitkan Malaysia, Singapura dan Indonesia, Hishammuddin berkata, negara terbabit sedang melihat keperluan memasukkan Thailand dalam TCA yang kemudian perlu ditukar kepada Perjanjian Kerjasama Kuartet.

"Dalam perbincangan bersama Prabowo dan Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen, sudah tiba masanya juga untuk meyakinkan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha.

"Ia bagi membolehkan kita untuk ada satu lagi perjanjian kuartet bagi memantau tahap keselamatan di Selat Melaka," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat bilateral bersama Indonesia menerusi pameran DSA dan NATSEC 2022 membawa kepada persetujuan untuk mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Indonesia (MALINDO) pada Julai ini berhubung isu pos kawalan bersepadu.

"Malaysia juga akan mengkaji model Bandung dalam membangunkan industri pertahanan negara.

"Mesyuarat bilateral bersama Brunei pula membawa kepada persetujuan untuk memantapkan aspek pertahanan terutama kerjasama dalam menangani isu keganasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 3:03 PM