Izad Thaqif Hassan


Kulim: Enggan bergantung dengan pendapatan hasil sumbangan orang ramai walaupun tahu diri serba kekurangan dan tidak normal seperti insan lain.

Itu prinsip teguh dipegang dan diterapkan kepada penghuni Rumah Amal Kulim yang menempatkan 73 golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terdiri daripada kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) berusia sejak bayi hingga empat tahun, pelajar pendidikan berusia tujuh hingga 18 tahun dan pelatih OKU berusia antara 19 hingga 45 tahun.

Berikutan itu, rumah amal terbabit menjadi antara pilihan Harian Metro yang terus komited dalam menabur baktinya menerusi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM).

Malah dengan kerjasama Agrobank, TKHM menyediakan projek pembangunan Sistem Tanaman Hidroponik di rumah kebajikan terbabit yang juga antara pertama seumpamanya menempatkan golongan OKU sepenuhnya.

Pengetua Rumah Amal Kulim, Zarina Md Noor berkata, penubuhan rumah amal lebih banyak bergerak sendiri dalam mencari dana selain menerima bantuan kira-kira 30 peratus daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Menariknya, di sini, kita mengumpul insan istimewa seperti ini tanpa mengira bangsa dan agama sama ada golongan pelajar atau pekerja yang berkhidmat sebagai satu keluarga.

"Bagi aktiviti dijalankan, untuk anak Taska kita sentiasa dengar ia ada di mana-mana, tapi di Kedah kita diberikan kepercayaan untuk tubuhkan Taska bagi anak OKU," katanya pada Program TKHM Agrobank ke Utara di Rumah Amal Kulim, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Agro Bank Butterworth, Mohd Shahrom Mohd Razak berkata, kolobrasi Agro Bank dengan Harian Metro adalah kali kelima dengan harapan apa yang disumbangkan itu akan menjana pendapatan.

"Semoga dengan adanya aktiviti dijalankan, rumah amal ini dapat menjana lebih lagi pendapatan untuk menampung kos operasi.

"Menerusi kemudahan dan sumbangan tidak seberapa ini, saya percaya jika dibuat secara berterusan ia akan berjaya dan memberi manfaat kepada penghuni dan masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit berkata, kerjasama antara Harian Metro bersama Agrobank diharapkan dapat memberi manfaat besar kepada Rumah Amal Kulim dalam bidang pertanian sama ada hasilnya kelak untuk kegunaan sendiri mahupun dijual kepada orang ramai bagi menjana pendapatan.

"Saya menyarankan lebih banyak syarikat korporat lain tampil untuk bekerjasama dengan kami khususnya TKHM demi meringankan beban rumah amal atau rumah kebajikan di seluruh negara.

"Kita tahu, mereka ini amat terkesan akibat pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 5:35 PM
Pengajar dan pelajar menguruskan Sistem Tanaman Hidroponik pada Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Agrobank di Rumah Amal Kulim di sini. FOTO DANIAL SAAD
Pengajar dan pelajar menguruskan Sistem Tanaman Hidroponik pada Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Agrobank di Rumah Amal Kulim di sini. FOTO DANIAL SAAD