Norzamira Che Noh

Shah Alam: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyasarkan 200,000 pokok ditanam di kesemua 35 kampus universiti sebagai tanda sokongan kepada Program Penghijauan Malaysia : Penanaman 100 juta pokok.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, program penanaman pokok dimulakan universiti itu sejak tahun lalu dan dilancarkan secara rasmi di 13 kampus utama tadi.

"Setiap tahun, kami akan cuba menyumbangkan 200,000 pokok di seluruh sistem (kampus) termasuk mengambil pendekatan 'one visitor one tree' sebagai usaha menyokong program penanaman 100 juta pokok yang dilaksanakan kerajaan.

"Saya juga sudah menanam 35 pokok menerusi lawatan ke kampus UiTM dalam tempoh 200 hari selepas menjadi Naib Canselor universiti ini.

"Bagaimanapun, penanaman pokok akan mengikut landskap kampus kerana setiap cawangan UiTM mempunyai landskap yang tersendiri. Justeru pokok yang akan ditanam akan mengikut konsep landskap kampus terbabit," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program 'One to One Tree' serta Menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dan UiTM di sini tadi.

Turut hadir Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif YHM, Amin Abdullah.

Sementara itu, Takiyuddin dalam ucapannya memaklumkan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan kementeriannya berjaya merekodkan penanaman sebanyak 27.87 juta pokok merangkumi lebih 1,000 spesis di seluruh negara.

"Pada tahun ini, kita menyasarkan untuk menanam 20 juta pokok dan pencapaian kempen ini boleh diakses secara terus melalui aplikasi mudah alih 'Penghijauan Malaysia dan juga laman sesawang www.100jutapokok.gov.my," katanya.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata memorandum persefahaman yang dimeterai YHM dan UiTM menerusi program berkenaan dapat mendidik dan mendedahkan warga universiti mengenai kepentingan penanaman, pemeliharaan serta pemuliharaan pokok dalam kawasan kampus UiTM di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 4:05 PM
TAKIYUDDIN (tengah) diiringi Dr Roziah (kanan) pada Pelancaran Program 'One to One Tree' di UiTM, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
TAKIYUDDIN (tengah) diiringi Dr Roziah (kanan) pada Pelancaran Program 'One to One Tree' di UiTM, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar