TAKIYUDDIN (kanan) menanam pokok Cempaka Hutan pada Program Berbasikal Penghijauan Malaysia sempena Hari Sukan Negara. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Zurinah Pawanteh (dua kiri) dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Ridza Awang (kiri). FOTO Bernama
TAKIYUDDIN (kanan) menanam pokok Cempaka Hutan pada Program Berbasikal Penghijauan Malaysia sempena Hari Sukan Negara. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Zurinah Pawanteh (dua kiri) dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Ridza Awang (kiri). FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Kawasan seluas 23.83 hektar di Mukim Petaling, Kuala Lumpur diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) baharu mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) berkuat kuasa semalam, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, HSK yang dikenali sebagai Hutan Simpan (HS) Sungai Besi (Tambahan) itu adalah bagi menggantikan kawasan HS Bukit Sungei Puteh, Mukim Cheras, Kuala Lumpur seluas 7.48 hektar yang diwarta keluar untuk pembangunan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada tarikh sama.

Katanya HSK berkenaan diwartakan sebagai hutan perlindungan dan dikelaskan sebagai hutan penyelidikan, hutan lipur dan hutan pelajaran di bawah subseksyen 10(1) Akta 313, selain disytiharkan sebagai hutan tertutup di bawah Seksyen 45 akta sama.

"Proses pewartaan keluar dan penggantian HSK secara serentak itu adalah selaras dengan hasrat dan cadangan pindaan Akta 313 yang sedang diusahakan kerajaan.

"Ia merupakan manifestasi kepada komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok," katanya selepas menyertai Program Berbasikal Penghijauan Malaysia sempena Hari Sukan Negara (HSN), di sini hari ini.

Menurut Takiyuddin keluasan HS Sungai Besi (Tambahan) yang diwartakan itu adalah lebih besar berbanding HS Bukit Sungei Puteh yang diwarta keluar dan merupakan jenis hutan dipterokarpa tanah pamah.

Katanya, penggantian HSK secara serentak itu turut meningkatkan sebanyak 0.35 peratus kawasan hutan daripada keluasan tanah di Kuala Lumpur.

"Kementerian berharap perkara ini dapat dicontohi pihak berkuasa negeri untuk mewartakan lebih banyak kawasan hutan sebagai HSK di negeri masing-masing bagi memelihara khazanah negara," katanya.

Mengenai Program Berbasikal Penghijauan Malaysia, katanya ia diadakan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Perbadanan Putrajaya dengan pengisian aktiviti berbasikal serta penanaman pokok.

Takiyuddin berkata aktiviti penanaman pokok selaras dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 yang diterajui kementeriannya.

Tujuh pokok jenis Cempaka ditanam di sisir tasik Presint 19 dan tempat itu turut dinamakan 'Dirian Hijau Putrajaya'.

Setakat ini, 16.5 juta pokok telah ditanam dengan sasaran 20 juta pokok bagi setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 1:16 PM