GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Akaun Telegram milik Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu digodam apabila menghantar mesej meminta pinjaman wang, malam tadi.

Dr Aman berkata, perkara itu disedari selepas ada kenalan dan keluarganya yang memaklumkan beliau meminta pinjaman wang menerusi akaun Telegram.

"Mohon kemaafan untuk semua yang mengenali saya, sila abaikan permintaan daripada akaun Telegram saya yang mengatakan mahu meminjam wang.

"Dimaklumkan bahawa akaun Telegram saya digodam. Harap maaf dan maklum," katanya yang menghantar mesej makluman kepada kenalannya sejak malam tadi.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) turut memaklumkan perkara berkenaan di Facebook (FB).

"Segala WhatsApp ataupun mesej dalam Telegram yang menyamar sebagai yang berhormat Datuk Dr Aman Rabu yang meminta duit daripada pelbagai individu adalah palsu dan 'scammer' yang menyamar sebagai beliau.

"Mohon semua yang mesej itu supaya jangan terpedaya," kata kenyataan yang dimuat naik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 10:29 AM