GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Penetapan gaji minimum RM1,500 boleh menarik lebih ramai rakyat tempatan mengisi kekosongan jawatan.

Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, ini secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan majikan kepada pekerja asing.

Menurutnya, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuktikan kerajaan berusaha untuk menaik taraf sektor pekerjaan domestik.

"Penetapan gaji minimum perlu selaras dengan kos sara hidup yang semakin meningkat malah kenaikan mendadak sejak beberapa tahun lalu.

"Pencari kerja tempatan akan tertarik dengan penetapan gaji minimum ini dan ia sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

"Apabila gaji ditawarkan kompetitif, maka lebih ramai rakyat tempatan akan mengisi kekosongan," katanya.

Beliau berkata, perincian lebih jelas perlu diberikan Kementerian Sumber Manusia untuk memastikan majikan bersedia melaksanakan penetapan gaji baharu ini.

Katanya, bagi memastikan arahan ini dipatuhi, majikan boleh ditawarkan pengecualian cukai perniagaan.

"Kita faham bukan semua majikan mampu untuk bayar gaji RM1,500 terutamanya perniagaan berskala kecil.

"Jika ada pengecualian cukai dan insentif tertentu, mungkin ia akan tarik minat mereka menawarkan gaji seperti diarahkan kerajaan," katanya.

Kerajaan pada Sabtu lalu meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei depan.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, keputusan itu hanya membabitkan majikan sektor swasta yang mempunyai lima pekerja ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 12:50 PM