GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Beri penjenamaan semula jawatan dalam sektor perladangan agar tiada lagi persepsi bergelar 'buruh'.

Panggilan 'buruh' kepada pekerja bawahan menyebabkan sektor perladangan dipandang kelas kedua oleh masyarakat tempatan.

Ia sekali gus membuka ruang lebih besar kepada warga asing untuk mengisi kekosongan jawatan dalam sektor perladangan.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI MLC) Datuk Mohamad Shafie BP Mammal berkata, sudah tiba masanya penjenamaan semula jawatan perlu dilakukan untuk menarik semula minat warga tempatan.

Katanya, sejak lebih 30 tahun lalu sektor perladangan negara dimonopoli warga asing sehingga majikan perlu bergantung penuh kepada mereka.

"Tukar nama jawatan agar ia sesuai dengan keadaan semasa kerana golongan muda pasti akan tertarik.

"Persepsi pekerja ladang sebagai buruh menyebabkan golongan muda tidak mahu menyertai sektor itu," katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, beliau berkata, majikan juga perlu tampil dengam tawaran gaji dan insentif yang lebih kompetatif.

Katanya, dengan gaji dan insentif menarik seperti perubatan, elaun perumahan dan insentif lain pasti menarik minat golongan muda khususnya lepasa universiti.

"Majikan lebih cenderung menggajikan pekerja asing kerana dibayar lebih murah tanpa perlu memikirkan insentif lain khususnya perubatan.

"Gaji perlu lebih baik kerana warga tempatan akan tertarik dan ia sekali gus mengelak daripada kebergantungan kepada warga asing.

"Bila tiada warga asing tidak boleh dibawa masuk, majikan sudah bimbang kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada warga asing," katanya.

Sejak pandemik Covid-19, ramai pekerja asing yang dihantar pulang atau membuat keputusan pulang ke negara asal kerana banyak sektor yang terjejas termasuk pelancongan.

Kini, menerusi fasa endemik lebih banyak sektor sudah dibuka antaranya perladangan namun kekurangan pekerja asing menyukarkan sektor ini kembali beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 3:35 PM