Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh, di sini, mencatat kehadiran 95 peratus, walaupun hampir keseluruhan daripada mereka menjadi mangsa banjir, baru-baru ini.

Tinjauan ke sekolah berkenaan pada awal pagi, hari ini, mendapati kebanyakan murid bersemangat hadir ke sekolah, namun tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal.

Kebanyakan daripada pelajar lengkap berpakaian seragam sekolah dengan kasut serta beg, namun tidak kurang juga yang hadir dengan berselipar sahaja kerana kasut hilang dibawa arus banjir.

Guru Besar SK Gual To'Deh, Wan Abd Fatah Wan Yusof, berkata, ibu bapa tetap bersemangat menghantar anak mereka ke sekolah, walaupun hampir 90 peratus keluarga pelajar di sini adalah mangsa banjir.

"Mereka mengalami kerosakan harta benda yang agak teruk akibat bah berkenaan tetapi tetap berusaha menghantar anak-anak pada hari ini, yang mana majoriti daripada mereka lengkap berpakaian sekolah.

"Walaupun ada segelintir yang tidak berpakaian lengkap, namun ia tidak menjadi masalah untuk turut hadir bagi menimba ilmu selepas sekian lama terpaksa menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Sebagaimana yang sedia maklum, sekolah ini dinaiki air separas 0.5 meter (m) pada bah lalu, menyebabkan pihak pengurusan perlu menjalankan gotong-royong pembersihan sebelum persekolahan dibuka," katanya ketika ditemui di SK Gual To'Deh, di sini.

SK Gual To'Deh adalah salah sebuah sekolah yang hampir keseluruhan muridnya menjadi mangsa banjir, namun tetap menjalankan sesi persekolahan seperti biasa pada hari ini.

Sementara itu, Mustafa Ahmad, 67, berkata, dia terpaksa membeli pakaian seragam baharu buat dua cucu yang mula bersekolah pada hari ini bagi memastikan mereka bersemangat untuk hadir menimba ilmu.

"Kediaman kami dinaiki air separas dua m menyebabkan semua barangan di rumah mengalami kerosakan, manakala barangan kelengkapan sekolah dua cucu juga hilang dibawa arus banjir.

"Namun begitu, saya tetap berusaha menyediakan pakaian, beg dan kasut baharu buat mereka yang dilihat teruja untuk memulakan persekolahan pada hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 9:24 AM