Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Seorang ibu menarik nafas lega apabila diselamatkan bersama bayinya selepas terkepung dalam banjir di Kampung Bendang Perol, Gual To'Deh, di sini, hari ini.

Norasila Abdul Majid, 27, berkata rumahnya mula digenangi air setinggi 0.6 meter sejak tiga hari lalu menyebabkan dia sekeluarga terperangkap kerana jalan keluar terputus.

Katanya, anggota bomba datang membuat rondaan, semalam sambil menasihatkan penduduk untuk berpindah, namun mereka meminta diberikan masa untuk mengemas barangan ke tempat tinggi.

"Alhamdulillah, ketika saya sedang mendapatkan bantuan, terdapat beberapa anggota bomba datang membuat rondaan. Saya terus meminta bantuan untuk dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh.

"Rumah saya hampir setiap tahun banjir, namun pengalaman bah besar pada Februari lalu, yang menenggelamkan kediaman membuatkan saya serik untuk bertahan lebih lama di rumah kerana bimbang paras air semakin bertambah.

"Tambahan pula, saya ada anak kecil yang perlu difikirkan keselamatannya selain takut dengan kehadiran haiwan berbisa seperti ular, kala jengking dan lipan," katanya.

Menurutnya, bapanya, Abdul Majid Ahmad, 56, sudah dipindahkan awal ke PPS kerana menghidap pelbagai penyakit seperti gout, buah pinggang dan jantung.

Katanya, selain dia dan anak, Aleesya Humaira Zaney, turut diselamatkan ialah empat adiknya berusia 11 sehingga 18 tahun.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa berkata, pegawai dan anggota diarahkan untuk memantau dari semasa ke semasa terutama di lokasi penempatan yang dilanda banjir.

"Anggota juga turun padang menasihatkan penduduk supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan berpindah segera jika banjir melanda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 4:14 PM