Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Kompaun RM1,000 akan dikenakan kepada mana-mana individu yang bermain air dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang musim banjir.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi berkata, tindakan itu bagi menangani penularan wabak Covid-19 selain sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan penduduk sekitar Rantau Panjang dan Pasir Mas tidak asing lagi dengan 'pesta air' ketika bah melanda.

Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan terbabit kerana ia boleh memudaratkan segi keselamatan dan boleh menyebabkan penularan wabak.

"Kita sudah mengeluarkan makluman kepada Ketua Jajahan Pasir Mas dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan berharap setiap lapisan masyarakat dapat memahaminya dengan jelas.

"Selain itu, kompaun terbabit turut dikenakan kepada peniaga yang membuka gerai seperti sebelum ini, melainkan jika mendapat kelulusan daripada Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM).

"Pihak bertanggungjawab tidak teragak-agak mengambil tindakan atau merampas barangan jualan jika masih ada mana-mana individu yang berdegil dan tidak mengikut arahan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Roy berkata, 'pesta air' dijadikan aktiviti wajib di beberapa kawasan sekitar Rantau Panjang dan Pasir Mas yang mana membabitkan orang ramai berkumpul seolah-olah lupa akan isu yang dihadapi negara kini.

"Tambahan pula, adalah sukar untuk orang ramai bermain air sambil mengikut SOP yang ditetapkan, jadi langkah lebih baik untuk masyarakat lupakan dulu niat bersuka ria ketika banjir demi keselamatan bersama.

"Anggota daripada setiap balai juga ditugaskan untuk membuat rondaan serta diminta memberi nasihat namun jika masih ingkar arahan, kompaun akan dikeluarkan.

"Kita akui agak sukar untuk menghalang penduduk bermain air namun berusaha sebaik mungkin demi mencegah penularan wabak Covid-19 yang semakin berleluasa," katanya.

ANGGOTA polis dari Balai Polis Rantau Panjang membuat rondaan di lokasi tumpuan bermain air di Kampung Gual To'Deh, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
ANGGOTA polis dari Balai Polis Rantau Panjang membuat rondaan di lokasi tumpuan bermain air di Kampung Gual To'Deh, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 8:45 PM