Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Lelaki nyaris lemas ketika meredah air untuk menyelamatkan diri ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumahnya dinaiki air pada paras 0.8 meter di Kampung Bendang Perol, Gual To'Deh, di sini, malam tadi.

Menceritakan detik cemas itu, Abdul Majid Ahmad, 55, berkata, dia tiba-tiba pening ketika meredah air menyebabkan terjatuh di dalam arus deras, namun bernasib baik sempat diselamatkan anaknya, Muhammad Shahmi, 17.

Dia yang juga menghidap penyakit buah pinggang, jantung, gout, dan kolestrol terpaksa melalui air separas dada sejauh 800 meter untuk ke jalan utama sebelum mendaftar di PPS Sek Kebangsaan (SK) Gual To'Deh, di sini.

"Selain terpaksa mengharungi air sejuk dalam suasana gelap waktu malam, saya juga bimbang dengan haiwan berbisa selain terpaksa berjalan berkaki ayam.

"Rumah kami mula digenangi air sejak Selasa lalu dan paras air semakin naik semalam membuatkan saya sekeluarga mengambil keputusan untuk berpindah ke PPS terdekat demi keselamatan diri.

"Kami hanya sempat membawa beberapa helai baju serta dokumen penting ke sini, manakala barangan lain hanya diletakkan di atas para yang dibina tinggi di dalam rumah dengan harapan ia selamat," katanya ketika ditemui di PPS SK Gual To'Deh, di sini, hari ini.

ABDUL Majid menunjukkan ubat-ubatan yang perlu diambil kepada anaknya, Muhammad Shahmi ketika ditemui di PPS SK Gual To'Deh, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa.
ABDUL Majid menunjukkan ubat-ubatan yang perlu diambil kepada anaknya, Muhammad Shahmi ketika ditemui di PPS SK Gual To'Deh, di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa.

Abdul Majid berkata, mereka yang tinggal di penempatan itu bersyukur kerana diberikan sebuah perahu untuk digunakan ketika banjir namun semasa kejadian perahu sudah penuh diisi dengan barangan penting untuk diselamatkan.

"Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik hari ini selain mendapat penjagaan baik daripada petugas keselamatan di PPS.

"Malah ubat-ubatan juga dibekalkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang datang melawat pada awal pagi.

"Saya berharap agar banjir kali ini biasa-biasa sahaja supaya kami semua dapat kembali ke rumah dengan secepat mungkin," katanya.

Menurutnya, mereka biasanya menumpang di PPS selama seminggu sehingga dua minggu setiap kali banjir melanda bergantung kepada paras air.

Terdahulu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas melaporkan sebanyak enam keluarga membabitkan 31 mangsa dipindahkan di PPS berkenaan yang dibuka mulai jam 10 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 1:29 PM