KEBAKARAN di salah sebuah rumah berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
KEBAKARAN di salah sebuah rumah berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Dua rumah teres di Jalan Dato Haji Harun, Taman Taynton View, di sini, musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 3.08 pagi.

"Seramai 25 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras, BBP Jalan Hang Tuah dan BBP Bandar Tun Razak dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat kebakaran membabitkan dua rumah teres satu tingkat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kebakaran itu berjaya dikawal daripada merebak ke rumah bersebelahan jam 3.35 pagi.

Katanya, kebakaran itu membabitkan 100 peratus kemusnahan di rumah pertama dan 30 peratus rumah kedua.

"Tiada mangsa yang dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 7:59 AM