Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaburan baharu sebanyak RM32 bilion bagi membangunkan Automotive High-Technology Valley (AHTV) Di Proton City, Tanjung Malim, Perak.

Pelaburan DRB-Hicom itu bakal mewujudkan 370,000 peluang pekerjaan sepanjang fasa pembangunan serta 161,000 sepanjang fasa operasi.

Beliau berkata, sejak Umno menerajui semula kerajaan, ekonomi negara berkembang sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat berbanding menguncup 4.5 peratus pada suku ketiga 2021.

Katanya, jumlah eksport negara pula meningkat sebanyak RM28.2 bilion iaitu dari Ogos hingga Disember 2021.

"Pengukuhan ekonomi ini disokong dengan aliran masuk pelaburan terus asing (FDI) sebanyak RM24.7 bilion pada suku tahun keempat berbanding RM12.8 bilion bagi suku ketiga.

"Inilah bukti keyakinan para pelabur luar negara terhadap kerajaan pimpinan Umno," katanya ketika ucapan penggulungan Naib Presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 6:30 PM