TAPAK pembinaan di Lebuh Kartz diarahkan ditutup bermula hari ini sehingga pihak kontraktor mematuhi undang-undang yang ditetapkan. FOTO Zuhainy Zulkiffli
TAPAK pembinaan di Lebuh Kartz diarahkan ditutup bermula hari ini sehingga pihak kontraktor mematuhi undang-undang yang ditetapkan. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pulau Pinang menutup sebuah tapak projek pembinaan di Lebuh Kartz di sini, hari ini kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan.

Operasi bersepadu jam 9.30 pagi itu turut membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Pengarahnya, Zahidi Hashim berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya melakukan risikan terhadap operasi tapak pembinaan berkenaan baru-baru ini.

Katanya, 18 daripada 35 pekerja yang diperiksa tidak mempunyai kad personel binaan atau kad hijau.

"Manakala 15 pekerja lagi adalah pemegang kad berstatus Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) yang mana mereka tidak boleh bekerja di tapak pembinaan.

"Projek berkenaan diisytiharkan berjumlah RM33 juta, tetapi semakan kami mendapati ia menelan belanja sehingga lebih RM70 juta," katanya ditemui.

Menurut Zahidi, berikutan kesalahan itu, tapak pembinaan itu diarahkan ditutup sehingga pihak kontraktor mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Kesalahan membabitkan Seksyen 34B (1)(b) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Pindaan) 2011.

"Kita percaya ada antara pekerja yang dapat melarikan diri ketika serbuan kerana ketika risikan dibuat, ada lebih 50 pekerja di tapak pembinaan itu.

"Kita nasihati semua kontraktor supaya mematuhi undang-undang serta garis panduan yang ditetapkan demi kepentingan bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 2:35 PM