GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Sebanyak 15 tapak pembinaan di seluruh negara menerima notis penutupan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) selepas didapati tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof berkata, notis penutupan itu diberikan selepas pihak CIDB mendapati penempatan pekerja di tapak pembinaan terbabit tidak mematuhi Akta 446, tiada penjarakan fizikal dan pekerja tidak memakai pelitup muka.

"Kebanyakan kes positif Covid-19 di tapak-tapak pembinaan adalah berpunca daripada kegagalan mematuhi SOP dan garis panduan yang ditetapkan.

"Hasil penemuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mendapati bahawa punca utama penularan wabak ini dalam kalangan pekerja asing adalah disebabkan penempatan pekerja yang sesak, kotor dan tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

"Punca lain ialah pekerja berpindah dari satu tapak projek ke tapak projek yang lain, didapati berperanan menyebarkan wabak itu dan membentuk kluster-kluster pembinaan; dan ketidakpatuhan SOP dan garis panduan yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga kini, sebanyak 1,078 tapak pembinaan di seluruh negara sudah diperiksa oleh CIDB dan 1,022 dibenarkan beroperasi.

Fadilah berkata, bagi kontraktor yang mendapat kebenaran beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka perlu memastikan pematuhan SOP sepenuhnya di tapak pembinaan dan penempatan pekerja bagi mengelakkan jangkitan dan penularan wabak Covid-19.

"Mereka akan berdepan dengan tindakan tegas jika gagal berbuat demikian," katanya.

Fadilah turut mengarahkan CIDB mempergiatkan pemeriksaan SOP di tapak pembinaan di seluruh negara untuk memastikan pematuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 11:58 AM