Siraj Mohd Zaini


BEKAS hakim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas tuduhan menerima suapan RM17,500 bagi menjatuhkan hukuman denda terhadap tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI), Julai lalu.

Tertuduh Azmil Muntapha Abas, 45 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Turut didakwa bagi pertuduhan sama, bekas Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azhwa Yusrie, 32, dan peguam Noor Amirul Nazreen Anas, 31, masing-masing membuat pengakuan tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara rasuah bersetuju menerima untuk diri mereka satu suapan sebanyak RM17,500 daripada Wong Chiew Hoong, 40 sebagai upah untuk Azmil Muntapha menjatuhkan hukuman denda sahaja bagi tujuh PATI di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Perbuatan itu dilakukan pada 9.30 pagi dan 2.45 petang di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu pada 17 Julai 2019.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan.

Sementara itu, Azmil Muntapha yang kini berkhidmat sebagai pegawai undang-undang di Istana Kehakiman, Putrajaya, turut didakwa dengan pertuduhan kedua kerana menerima suapan berjumlah RM5,000 bagi menjatuhkan hukuman denda sahaja terhadap enam individu yang melakukan kesalahan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953(Akta289).

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Meru pada 8.24 malam, 10 Mei 2018.

Dia didakwa mengikut subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 289) dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan.

Dia juga ditawarkan pertuduhan pilihan bagi kesalahan sama mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Roslan Mat Nor dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Allan Suman Pillai.

Azmil Muntapha diwakili peguam Gregory Santiago, A Sheelan, Ridha Abdah Subri, dan Jagesh M. Lingam manakala, Khairul Azhwa diwakili Zulkepli Omar serta Nur Fathin Muhammad Zain.

Noor Amirul pula diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan dan Noorhidayah Mohd Saad.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 namun, semua peguam tertuduh meminta jaminan dikurangkan iaitu antara RM2,500 hingga RM12,000.

Rozilah kemudian menetapkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM12,000 setiap seorang manakala, Azmil Muntapha diberikan jaminan tambahan sebanyak RM6,000 bagi pertuduhan kedua dihadapinya.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 16 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 12:57 PM
KHAIRUL Azhwa (kiri) dan Noor Amirul Nazreen ketika hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. FOTO Saddam Yusoff.
KHAIRUL Azhwa (kiri) dan Noor Amirul Nazreen ketika hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. FOTO Saddam Yusoff.