Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang pengantin baru yang sedang merakam gambar perkahwinannya di tebing Sungai Anak Bukit di sini, Jumaat lalu menjadi wira apabila terjun menyelamat kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang lemas selepas terjatuh ke sungai itu.

Video berdurasi 29 saat itu mula tular di laman sosial Tik Tok dan Facebook hari ini sehingga menarik perhatian warganet yang memuji tindakan pengantin lelaki terbabit selain menganggapnya sebagai hero.

"Nyawa kanak-kanak itu lebih penting dan saya terjun ke dalam sungai kerana dia hampir tenggelam," kata Mohd Anuar Ahmad, 33.

Mohd Anuar berkata, ketika kejadian jam 6.45 petang itu dia sedang merakam gambar kenangan pada hari perkahwinannya bersama isteri, Norhaslinda Mahmud, 38, dan jurugambar.

Katanya, tiba-tiba mereka terdengar suara wanita yang dipercayai ibu kanak-kanak terbabit meraung meminta tolong selepas salah seorang daripada tiga anaknya terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

"Sungai Anak Bukit itu sangat dalam dan luas, tanpa hiraukan apa yang berlaku, saya tanggalkan jam dan tengkolok sebelum terjun ke dalam sungai.

"Mujur saya tahu berenang. Saya terjun dan terus menarik kanak-kanak itu walaupun dia sudah beberapa kali tenggelam timbul dan hampir tenggelam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Anuar yang menetap di Kampung Kota Rentang, Gunung Keriang bersyukur kerana dapat menyelamatkan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu walaupun kejadian berlaku terlalu pantas.

Sementara itu, isterinya, Norhaslinda berkata, dia dan suaminya tidak menyangka video kejadian itu akan tular namun bersyukur suaminya dan kanak-kanak itu selamat.

"Saya dengar ibu kanak-kanak itu jerit yang anaknya OKU dan tidak tahu berenang menyebabkan orang ramai yang berada di situ panik kerana masing-masing tidak tahu berenang.

"Saya cemas tengok suami dah 'hilang' ketika itu namun tidak lama kemudian nampak dia terjun ke dalam sungai dengan berpakaian pengantin. Cemas juga waktu itu kerana sungai itu dalam malah orang kampung kata ada buaya," katanya.

Norhaslinda berkata, dia akhirnya lega apabila nampak suaminya berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu dan bangga dengan keberanian pasangannya itu.

Katanya, ibu kanak-kanak itu beberapa kali memeluknya sambil meminta maaf kerana menyusahkan mereka.

"Yang penting mereka selamat, Alhamdulillah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, tiada laporan berhubung kejadian itu dibuat memandangkan kanak-kanak lelaki itu berjaya diselamatkan pengantin berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 5:26 PM
Mohd Anuar Ahmad dan isterinya, Norhaslinda Mahmud sewaktu merakam kenangan hari perkahwinan mereka sebelum menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang hampir lemas di Sungai Anak Bukit. FOTO IHSAN Madie Carthamus Photography
Mohd Anuar Ahmad dan isterinya, Norhaslinda Mahmud sewaktu merakam kenangan hari perkahwinan mereka sebelum menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang hampir lemas di Sungai Anak Bukit. FOTO IHSAN Madie Carthamus Photography