Zaid Salim


“Ketika berenang, saya tengok mangsa (Abdul Bari Asyraf) yang dikhuatiri lemas sedang memegang seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan tenggelam timbul,” kata Omar Abdul Aziz Othman, 27.

Omar yang juga pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu adalah antara enam penyelamat yang nekad terjun ke Sungai Terengganu untuk menyelamatkan lima sekeluarga selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, malam tadi.

Bagaimanapun, Omar dan empat yang lain selamat manakala pemancing, Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, dari Kampung Panji, Kuala Terengganu dikhuatiri lemas.

Menurutnya, dia yang ketika kejadian bersama ahli keluarga nekad terjun ke sungai selepas mendengar jeritan meminta tolong.

“Saya nampak mangsa (Abdul Bari Asyraf) dalam keadaan tenggelam timbul sambil memegang seorang kanak-kanak menyebabkan saya cuba menarik kanak-kanak terbabit daripada pegangannya.

“Namun, saya gagal sebelum beralih menyelamatkan dua wanita lain lalu membawa mereka hingga ke tebing,” katanya yang tinggal di Rusila, Marang.

Pada masa sama, katanya, pemancing yang kebetulan berada di lokasi kejadian bertindak melemparkan tong plastik kepada mangsa bagi menyelamatkannya.

“Bagaimanapun, saya tidak pasti sama ada mangsa sempat mencapai tong berkenaan atau tidak kerana ketika itu dia dalam keadaan hampir lemas.

“Kanak-kanak perempuan terbabit pula berjaya diselamatkan orang awam yang terjun ke sungai berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian 9.40 malam itu, tiga wanita berusia antara 23 hingga 37 tahun serta dua kanak-kanak perempuan berusia tiga dan 11 tahun hampir lemas selepas kenderaan empat roda dinaiki mereka mengundur ke dalam sungai.

Berita berkaitan

PPDA cari Abdul Bari pagi ini

Nekad terjun sungai selamatkan mangsa [METROTV]

'Hilang ketika selamatkan pikap terjunam ke sungai'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 12:26 PM