Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang bekas juruteknik di jabatan kerajaan dijatuhi hukuman denda RM7,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan sijil diploma palsu bagi mendapatkan lesen Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK).

Tertuduh, Muhamad Muslim Mamat, 30, turut berdepan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat selepas Muhamad Muslim mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu Sijil Diploma Rekabentuk Dalaman atas nama adiknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di daerah ini pada 26 Disember 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK) berdepan hukuman mengikut Seksyen 465 KK.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

MUHAMAD Muslim (kanan) dijatuhi hukuman denda RM7,000 di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menggunakan sijil diploma palsu bagi mendapatkan lesen Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK). FOTO Ghazali Kori
MUHAMAD Muslim (kanan) dijatuhi hukuman denda RM7,000 di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menggunakan sijil diploma palsu bagi mendapatkan lesen Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK). FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 12:58 PM