Dr Mohd Hilmi memegang salah sebuah ensiklopedia yang diterhasilkannya. FOTO Ihsan UPSI
Dr Mohd Hilmi memegang salah sebuah ensiklopedia yang diterhasilkannya. FOTO Ihsan UPSI
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya merungkai konflik penterjemahan dan penamaan tumbuh-tumbuhan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu, Inggeris dan nama saintifik melalui penerbitan dua ensiklopedia.

Dua ensiklopedia terbabit adalah Ensiklopedia Sayur-Sayuran, Buah-Buahan, Rempah-Ratus, dan Bijirin membabitkan penterjemahan Arab - Melayu - Inggeris - Nama Saintifik.

Satu lagi terbitan adalah Ensiklopedia Tanaman Hiasan, Tumbuhan Liar, dan Rumpai dengan kedua-duanya diterbitkan pada tahun 2021 dan 2022.

Dr. Mohd Hilmi Abdullah berkata, beliau menemui pelbagai permasalahan serta konflik dalam penamaan tumbuh-tumbuhan khususnya daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu.

"Malah, permasalahan itu juga termasuk berkaitan kesilapan terjemahan nama tumbuh-tumbuhan dalam kamus Arab ke Bahasa Melayu dan Inggeris ke Bahasa Melayu yang terdapat di pasaran negara kini.

"Isu ini turut dibentangkan dalam pelbagai seminar, termasuk dalam Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Kali ke-17 dan Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Kali ke-18.

"Sehubungan dengan itu, ensiklopedia ini mempunyai keunikan tersendiri yang tidak ada pada mana-mana kamus serta ensiklopedia lain di dalam negara bahkan amat sesuai dijadikan rujukan oleh pelajar, guru, penyelidik dan pengkaji tumbuh-tumbuhan," katanya tadi.

Beliau berkata, setiap spesies tumbuhan, sub-spesies bagi tumbuhan yang terpilih diberi padanan yang tepat dan berbeza antara satu sama lain, khususnya nama saintifik bagi tumbuhan berkenaan.

Jelasnya, terbitan ensiklopedia ini adalah bagi memastikan pengguna mendapat maklumat yang tepat serta mengelakkan berlaku kekeliruan, amnya bagi tumbuh-tumbuhan yang mempunyai identiti yang hampir sama.

"Kedua-dua ensiklopedia ini memperincikan padanan nama tumbuh-tumbuhan dalam empat bahasa sekaligus iaitu iaitu bahasa Arab, bahasa Melayu, bahasa Inggeris, dan bahasa Greek (nama saintifik).

"Selain itu, ia turut mengandungi padanan yang tepat bagi setiap nama tumbuhan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan nama saintifik serta membetulkan kesilapan padanan yang sering dihadapi dalam masyarakat," katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut memasukkan khasiat perubatan bagi tumbuh-tumbuhan yang tertentu, khususnya tumbuh-tumbuhan yang terkenal dan biasa digunakan oleh masyarakat di seluruh dunia.

"Sebahagian besar khasiat perubatan diambil daripada kitab al-Qanun Fi al-Tibb karangan Ibnu Sina dan ditambah dengan maklumat perubatan dan khasiat makanan daripada buku-buku karangan mantan Profesor Sains Biologi Universiti Malaya, Dr Ong Hean Chooi, serta maklumat daripada sumber lain termasuk internet," katanya.

Mohd Hilmi mula menjalankan kajian penamaan tumbuhan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu, Inggeris dan nama saintifik bermula tahun 2015 ketika menjalani cuti sabatikal di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Suriani Abu Bakar berkata, kedua-dua ensiklopedia itu berada di kelas tersendiri sekaligus menyemarakkan lagi penyelidikan dan penerbitan dalama bidang yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 5:02 PM