KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO Erika George
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO Erika George
Erika George


Miri: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut selepas Toyota Hilux dinaikinya bersama empat ahli keluarga bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan di Jalan Pesisir Pantai Bakam, jam 8 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, mangsa dikenali sebagai Aiden Chiang Yong Jun.

Menurutnya, pegawai perubatan Hospital Miri yang menjalankan pemeriksaan mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, bapa mangsa yang juga pemandu Toyota Hilux bersama isteri dan seorang lagi anak perempuan berusia 3 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

"Seorang lagi penumpang lelaki yang belum diketahui identiti mengalami kecederaan parah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson berkata, pemandu Perodua Alza iaitu lelaki berusia 63 tahun patah kaki manakala dua lagi penumpang mengalami kecederaan.

"Siasatan awal mendapati Toyota Hilux itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Alza.

"Impak yang kuat menyebabkan Toyota Hilux itu terbalik manakala mangsa tercampak keluar dari kenderaan," katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Miri bagi bedah siasat dan semua mangsa lain turut dirujuk ke hospital sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 3:43 PM