Mangsa dibantu untuk dibawa naik ke helikopter. (Gambar kecil) Petugas kesihatan dan anggota bomba membantu untuk membawa mangsa ke hospital. Foto Ihsan JBPM
Mangsa dibantu untuk dibawa naik ke helikopter. (Gambar kecil) Petugas kesihatan dan anggota bomba membantu untuk membawa mangsa ke hospital. Foto Ihsan JBPM
Roselan Ab Malek

Jerantut: Pendaki Gunung Tahan terpaksa dibawa keluar dengan helikopter selepas terkandas semalaman akibat cuaca buruk di tapak perkhemahan Resket di Taman Negara dekat sini.

Mangsa yang patah paha ketika menuruni gunung terbabit pagi semalam berjaya diselamatkan menggunakan helikopter Agusta AW189 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada tengah hari ini.

Pengarah (Operasi) JBPM Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa yang berusia 59 tahun bersama 17 pendaki lain dan dua malim gunung dalam perjalanan turun ke Kuala Tahan dekat sini, ketika kejadian.

"Pasukan itu mendaki Gunung Tahan menggunakan pintu masuk Taman Negara di Merapoh, Lipis sebelum ke puncak.

"Mereka dijadualkan turun dan tiba di pintu masuk Kuala Tahan di sini, semalam.

"Apabila mangsa cedera dan tidak dapat berjalan, malim gunung memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kuala Tahan sebelum dilaporkan kepada pihak bomba," katanya.

Menurutnya, sebuah helikopter dari Unit Udara Subang kemudiannya dihantar ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun, katanya, kabus tebal di gunung terbabit menyukarkan helikopter mengenal pasti lokasi sebenar mangsa di tapak perkhemahan dan terpaksa kembali ke pangkalan sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dikerahkan ke Kuala Tahan bagi membantu mengesan lokasi itu dengan berjalan kaki.

Katanya, helikopter itu kembali semua ke lokasi untuk percubaan kedua pada tengah hari sebelum berjaya menaikkan mangsa.

Menurutnya, helikopter yang membawa lelaki itu selamat mendarat di padang hoki di bandar ini sebelum mangsa dibawa ke hospital dengan ambulans.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 6:26 PM