AWAN karpet mengindahkan suasana di puncak.
AWAN karpet mengindahkan suasana di puncak.
Zaitie Satibi


PUNCAK tertinggi di Semenanjung Malaysia, Gunung Tahan yang berketinggian 2,187 meter di Taman Negara Pahang, menjadi pilihan 14 peserta kumpulan aktiviti lasak Orang Kampung Hikers (OKH) mencabar diri selama empat hari tiga malam, baru-baru ini.

Impian ingin mendaki gunung itu bagi menyaksikan sendiri pesona keindahan banjaran Tahan memang sudah lama diidam-idamkan. Lantaran itu, aktiviti mendaki gunung berkenaan disusun dengan baik dua penyelaras, Salina Salim dan Mohd Arshad Mohamad sebelum semua ahli berkumpul di Merapoh, Kuala Lipis.

Seawal jam 8 pagi kumpulan OKH ditemani dua jurupandu, Zulkapli Sudin dan Mohd Azhar Ismail bergerak menuju pejabat Perhilitan Sungai Relau seterusnya bersiap-siap termasuk membuat semakan terakhir barang-barang yang perlu dibawa sepanjang pendakian.

Sebelum setiap pendaki boleh memasuki Taman Negara Pahang, mereka diwajibkan mendaftar dan membuat pengisytiharan barangan yang akan dibawa ketika mendaki. Setiap barangan direkod secara terperinci dan semua barang yang dibawa naik mesti juga dibawa turun.

Barangan dibawa tidak boleh dibuang atau ditinggalkan merata-rata kecuali sisa makanan yang boleh terurai bagi menjaga kebersihan dan memelihara eko sistem taman negara supaya tidak tercemar.

Menurut Salina, pendaki juga perlu membayar permit masuk ke taman negara dan selesai urusan berkenaan serta mendengar taklimat disampaikan renjer Perhilitan mereka kemudian menaiki pacuan empat roda menuju ke Kuala Juram sejauh 13 kilometer (km) yang juga pintu masuk Gunung Tahan dari arah Merapoh.

“Kami bergerak jam 11 pagi menuju destinasi pertama iaitu Kem Kor untuk berhenti bermalam. Sepanjang perjalanan ke kem ini, kami perlu menyeberang empat sungai dengan kedalaman sehingga melepasi paras lutut,” katanya.

KUMPULAN OKH bukti kemampuan daki puncak tertinggi di Semenanjung.
KUMPULAN OKH bukti kemampuan daki puncak tertinggi di Semenanjung.

Kumpulan berkenaan sempat melepas lelah seketika di Kuala Luis dan Lata Luis sebelum tiba di Kem Kor selepas hampir lima jam perjalanan. Tanpa berlengah, peserta memasang khemah dan mengeluarkan bahan mentah untuk persediaan memasak makan malam.

“Kami berehat secukupnya untuk bersiap sedia bagi cabaran sebenar pendakian pada keesokannya. Hari pertama tidak terlalu mencabar kerana cuaca baik, selain tapak perkhemahan berhampiran sungai jadi amat mudah mendapatkan sumber air untuk memasak dan mandi.

“Hari kedua barulah peserta merasai betapa getirnya pendakian. Ini berikutan perjalanan

ke tapak perkhemahan seterusnya di Kem Botak lebih panjang sejauh 16km dan perlu melalui beberapa hentian iaitu Permatang, Kubang, Belumut dan Bonsai dengan setiap satunya mempunyai cabaran tersendiri.

“Trek menuju Kubang dari Permatang semakin banyak pendakian, ada trek setinggi 90 darjah, akar-akar kayu besar dan berjuntai sehingga menutup laluan. Namun, trek sebegini memang disediakan tali dan tangga bagi memudahkan perjalanan.

“Hujan lebat pada sebelah petang menambah seksa kerana peserta terpaksa mengharung trek berlumpur menuju hentian seterusnya di Belumut,” katanya.

Katanya, peserta berehat dan menikmati bekalan makanan sebaik tiba di Belumut. Pada aras ketinggian melebihi 1,400 itu cuaca sudah mula dingin dan berkabus. Malah, beberapa peserta dilihat berada pada tahap tidak memuaskan akibat kepenatan sehingga tidak berselera makan.

Meneruskan perjalanan ke Bonsai dengan jarak 5.5 km agak boleh tahan juga peritnya dengan tenaga untuk mendaki semakin berkurang. Biarpun pemandangan sudah mula berubah dengan pokok-pokok sudah semakin rendah, tetapi peserta terpaksa melalui hutan yang banyak lumut, pokok berduri, pokok rotan dan mengkuang.

“Menghampiri jam 9 malam, semua peserta tiba di Kem Bukit Botak dan cepat-cepat memasang khemah serta menyediakan makan malam. Hujan masih turun dan khemah kami hampir dimasuki air. Cuaca juga sangat sejuk sehingga kami menggigil dan tidak dapat tidur dengan nyenyak walaupun badan terasa penat selepas seharian mendaki,” katanya.

Percaturan Tuhan cukup cantik apabila ditakdirkan semua peserta dapat menjejakkan kaki ke puncak Gunung Tahan pada hari ketiga. Seawal jam 6 pagi, semua peserta bangun dan bersiap-siap dengan membawa barang keperluan saja untuk pendakian ke puncak.

TREK basah akibat hujan lebat.
TREK basah akibat hujan lebat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 9:37 AM