NOH Omar. FOTO Azhar Ramli
NOH Omar. FOTO Azhar Ramli
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Kerenah birokrasi yang wujud dalam bantuan disalurkan kerajaan Persekutuan kepada mangsa banjir di negeri ini perlu dilonggarkan oleh Kerajaan Selangor.

Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor Tan Sri Noh Omar berkata, situasi itu menyebabkan bantuan lambat disalurkan kepada penerima.

"Bantuan (kerajaan Persekutuan) kepada mangsa terkesan banjir perlu melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) yang mendapat maklumat daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) negeri ini.

"Saya berharap mereka (Kerajaan Selangor) mengurangkan 'red tape' (kerenah). Misalnya, saya terima maklumat berhubung bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Bestari Jaya.

"Apabila penduduk menghantar (permohonan bantuan) kepada PDT Kuala Selangor, PDT Kuala Selangor memerlukan pengesahan daripada ketua kampung," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup Karnival Pendidikan Parlimen Tanjong Karang di Dewan Dato' Hormat, di sini, hari ini.

Noh berkata, keadaan itu sekali gus mengakibatkan saluran bantuan kepada penduduk mengalami kelewatan.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang mahu mana-mana mangsa yang belum menerima bantuan supaya berhubung terus dengan pejabat ICU di Shah Alam untuk semakan lanjut.

"Ini bagi memastikan tiada yang tercicir menerima bantuan daripada kerajaan Persekutuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 7:00 PM